Kes Amirul Hafiz maut dirempuh hingga melambung, pembelaan belum putuskan hantar representasi

KLANG – Pembelaan kepada pemandu yang tular dalam kemalangan sehingga menyebabkan seorang penunggang motosikal melambung dan terjatuh di atas sebuah kereta memberitahu Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, bahawa pihaknya masih meneliti kes sama ada mahu mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Peguam, Aravind Raj yang mewakili tertuduh, R Saktygaanapathy, 28, berkata, ini kerana pembelaan memerlukan masa untuk meneliti semua dokumen daripada pihak pendakwaan.
Buat masa ini beliau berkata, dokumen yang telah diperoleh ialah kes dadah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Mahkamah menetapkan 28 Ogos depan bagi sebutan semula kes dan perkembangan berhubung representasi berkenaan," katanya ketika ditemui selepas prosiding di hadapan Majistret, Nor Azilah Mat.
Dalam prosiding tersebut, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohamad Rabiul Awal Ishak.
Sementara bagi kes bunuh di hadapan Majistret, A Karthiyayini, Timbalan Pendakwa Raya, Salman Alfarisi Nawawi memaklumkan, pendakwaan masih menunggu laporan patologi mangsa.
Karthiyayini menetapkan 7 Oktober untuk sebutan kes berkenaan.
Mengikut pertuduhan kes dadah, tertuduh yang juga bekas pembantu makmal itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pindaan memberikan dirinya dadah disyaki jenis 11-Nor-Delta-9-Tetrahydrocannabinol-9-Carboxylic Acid ke dalam badan di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di sini, jam 3.30 petang pada 29 Mac lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Dia juga didakwa atas satu pertuduhan membunuh Amirul Hafiz Omar, 33, di Jalan Raya Barat, di sini pada jam 11.47 pagi tarikh sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman gantung, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Hujung Mac lalu, kemalangan berkenaan tular di media sosial, memaparkan Amirul Hafiz melambung selepas dirempuh kereta dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan.
Akibat pelanggaran itu, lelaki tempatan itu tercampak ke atas sebuah kereta sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

