Gempa Sumatera: Bangunan MPKJ, INTI College turut rasai gegaran

Anggota BBP Kajang ketika melakukan pemeriksaan di bangunan MPKJ susulan laporan insiden gegaran pada Rabu. Foto: JBPM SELANGOR
Anggota BBP Kajang ketika melakukan pemeriksaan di bangunan MPKJ susulan laporan insiden gegaran pada Rabu. Foto: JBPM SELANGOR
A
A
A

SHAH ALAM – Gegaran dilaporkan berlaku di bangunan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) dan INTI International College Subang, dekat sini, dipercayai susulan gempa bumi sederhana di Utara Sumatera pada Rabu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang telah dikejarkan ke bangunan MPKJ selepas menerima panggilan pada jam 12.31 tengah hari.

Pemeriksaan mendapati kedua-dua bangunan tidak mengalami keretakan dan selamat untuk diduduki buat masa ini. - Foto: JBPM SELANGOR
Pemeriksaan mendapati kedua-dua bangunan tidak mengalami keretakan dan selamat untuk diduduki buat masa ini. - Foto: JBPM SELANGOR

Menurutnya, BBP Subang Jaya pula dikejarkan ke INTI International College susulan panggilan yang diterima pada jam 12.40 tengah hari.

"Komander operasi di kedua-dua lokasi melaporkan maklumat diterima daripada orang awam dan kakitangan terbabit mengenai berlakunya gegaran bangunan.

"Anggota membuat pemeriksaan menyeluruh terhadap bangunan bagi memastikan tiada rekahan dan bangunan berada dalam keadaan selamat untuk diduduki," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, pemeriksaan mendapati kedua-dua bangunan tidak mengalami keretakan dan selamat untuk diduduki buat masa ini.

Artikel Berkaitan:

Anggota BBP Kajang melakukan pemeriksaan di bangunan MPKJ susulan laporan insiden gegaran pada Rabu. - Foto: JBPM SELANGOR
Anggota BBP Kajang melakukan pemeriksaan di bangunan MPKJ susulan laporan insiden gegaran pada Rabu. - Foto: JBPM SELANGOR

Sebelum itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataan di Facebook rasminya pada Rabu memaklumkan gempa bumi sederhana bermagnitud 5.7 berlaku di Utara Sumatera pada jam 12.18 tengah hari dengan lokasi 55 kilometer (km) barat daya dari Langsa, Indonesia.

"Gegaran dirasai di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

"Orang ramai yang merasai gegaran akibat gempa bumi ini dimohon mengisi borang soal selidik menerusi pautan berikut https://forms.gle/3BiFefhGT4yysDiC9," ujarnya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!