Koperal mengaku ada masalah psikiatri, didakwa amang seksual anak 11 tahun

Seorang anggota polis berpangkat Koperal mengaku tidak bersalah ke atas 2 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan ketiganya berusia 11 tahun, Mei lalu.
Seorang anggota polis berpangkat Koperal mengaku tidak bersalah ke atas 2 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan ketiganya berusia 11 tahun, Mei lalu.
A
A
A

AMPANG – Seorang anggota polis berpangkat Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan ketiganya berusia 11 tahun, Mei lalu.

Bapa kepada empat anak berumur 35 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Norshila Kamarudin.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, lelaki itu yang telah digantung tugas, didakwa sebagai seorang yang mempunyai hubungan amanah iaitu bapa kandung, telah melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak itu ketika kejadian berumur 11 tahun 10 bulan, bagi tujuan seksual.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kuala Kubu Bharu, Rawang antara jam 9 hingga 10 malam, 21 Mei serta 2 petang 22 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta serupa.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi hukuman Seksyen 16(1) akta sama membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan tidak kurang dua sebatan, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

"Sebelum ini tertuduh didakwa di Mahkamah Kuala Kubu Bharu di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan (rogol) terhadap anak sulungnya ketika kejadian berusia 18 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Selepas diberi ikat jamin dalam kes berkenaan, ahli keluarga mangsa telah membuat aduan bahawa tertuduh telah mengganggu remaja terbabit.

"Jadi saya mohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan kerana bimbang dia akan mencari mangsa," katanya.

Bagaimanapun, peguam, Muhammad Azim Hilmi Aziz merayu anak guamnya diberi ikat jamin kerana pertuduhan di Kuala Kubu Bharu melibatkan kes berlainan.

Menurutnya, anak guam tidak lagi tinggal bersama kedua-dua mangsa malah dia sedia untuk memenuhi sebarang syarat tambahan.

Selain itu beliau berkata, mahkamah perlu membenarkan anak guam diikat jamin atas faktor kesihatan kerana dia kini menerima rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

“Anak guam diberi preskripsi yang mana ubat bagi penyakit yang dihadapi, tidak dibenarkan untuk diambil di penjara kerana wujudnya kesan sampingan.

"Justeru saya mohon mahkamah membenarkan anak guam diberi ikat jamin," katanya.

Mendengar perkara berkenaan, Muhammad Hairul Iqram mencadangkan tertuduh ditempatkan di hospital terbabit sekali gus memudahkan semua pihak mendapatkan perkembangan kesihatan tertuduh.

Perkara itu tidak dipersetujui oleh pihak pembelaan apabila memaklumkan, anak guamnya tidak berhasrat untuk membuat permohonan supaya dihantar ke hospital bahagia.

Muhammad Azim Hilmi berkata, ibu tertuduh sedia melunaskan bayaran ikat jamin selain memastikan kehadirannya dalam setiap sebutan kes.

Selepas dimaklumkan ibu tertuduh tinggal di Ipoh, Perak sementara tertuduh menetapkan di Kuala Kubu Bharu, Norshila tidak membenarkan lelaki itu dilepaskan dengan ikat jamin.

“Makcik tidak tinggal bersama tertuduh, jadi bagaimana makcik mahu pastikan dia hadir ke mahkamah bagi setiap prosiding kelak?

“Selain itu ada aduan daripada keluarga berhubung gangguan terhadap mangsa.

“Jadi buat masa ini, saya tidak membenarkan jaminan sehingga pihak pembelaan mengemukakan penjamin yang boleh memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah termasuk syarat dia tidak mengganggu mangsa,” katanya.

Beliau menambah, mahkamah akan pertimbangkan permohonan pembelaan berhubung ikat jamin pada tarikh sebutan seterusnya.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Ogos depan untuk serahan dokumen bagi status penjamin jika ada.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!