Kebocoran data peribadi bukan isu kecil

HAMPIR setiap urusan harian manusia melibatkan perkongsian maklumat peribadi, sama ada ketika membuka akaun media sosial, membuat transaksi dalam talian, menggunakan aplikasi mudah alih atau melanggan pelbagai perkhidmatan digital.
Namun di sebalik kemudahan yang dinikmati, timbul kebimbangan apabila maklumat peribadi seperti nombor telefon, alamat, nombor kad pengenalan, rekod kewangan dan data lain boleh terdedah kepada pihak tidak bertanggungjawab.
Kebocoran data bukan sahaja menjejaskan privasi individu, malah boleh membuka ruang kepada penipuan, pencurian identiti dan pelbagai bentuk jenayah siber.
Pada Isnin, isu melibatkan pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming menarik perhatian ramai apabila timbul dakwaan berkaitan pendedahan maklumat akaun peribadi tanpa kebenaran.
Walaupun siasatan masih dijalankan oleh pihak berkaitan, kes tersebut mengingatkan masyarakat bahawa sesiapa sahaja berpotensi menjadi mangsa sekiranya kawalan keselamatan data tidak dipatuhi sepenuhnya.
Hakikatnya, kebocoran data boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor antaranya kelemahan sistem keselamatan organisasi, serangan penggodam, kecuaian pengendalian maklumat oleh pekerja serta tindakan individu yang menyalahgunakan akses terhadap data pelanggan.
Dalam sesetengah keadaan, kebocoran berpunca daripada kesilapan manusia yang dianggap remeh tetapi memberi kesan besar kepada mangsa.
Justeru, pihak berkaitan perlu memperkukuhkan sistem keselamatan digital, melaksanakan kawalan akses lebih ketat dan menjalankan audit keselamatan secara berkala.
Pada masa sama pengguna sendiri perlu mengamalkan penggunaan kata laluan yang kukuh, mengaktifkan pengesahan dua faktor serta mengelakkan perkongsian maklumat peribadi secara berlebihan di platform digital.
Pihak berkuasa juga perlu memastikan penguatkuasaan undang-undang berkaitan perlindungan data peribadi dilaksanakan secara tegas.
Dalam dunia yang semakin bergantung kepada teknologi, perlindungan data peribadi bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi tanggungjawab bersama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
