Aneka Walk bertukar 'mini stadium'

SHAH ALAM – Laungan ‘gol!’, sorakan gemuruh dan debaran setiap kali bola menghampiri pintu gol mencipta suasana seolah-olah berada di mini stadium pada program PKNS Homes Final World Cup 2026 Mega Live di sini.
Kira-kira 1,500 pengunjung membanjiri Aneka Walk di sini seawal jam 5 petang bagi menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir antara Argentina dan Sepanyol.
Kehadiran keluarga, anak muda dan penyokong bola sepak memeriahkan suasana sebelum menanti detik sepak mula di hadapan skrin LED gergasi yang disediakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran PKNS, Fadli Mohd Ari berkata, sambutan luar jangkaan itu membuktikan acara berkonsepkan komuniti mampu menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai lapisan usia.

“Pada mulanya kami tertanya-tanya sama ada orang sanggup berada di sini dari petang sehingga awal pagi.
“Namun sambutan yang diterima amat menggalakkan sepanjang hari ini,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurut beliau, penganjuran itu juga dapat menghidupkan Aneka Walk sebagai hab komuniti di bawah pembangunan SA Sentral.
“Ia bukan sekadar meraikan kemuncak Piala Dunia, tetapi ia menghimpunkan orang ramai dalam suasana santai.

“Selain dapat mempromosikan produk dan pembangunan PKNS, ia juga di meriahkan dengan kehadiran penaja kami iaitu Hyundai, Selgate Corporation dan Maybank,” katanya.
Tambah Fadli, laluan berbumbung sepanjang 300 meter itu akan terus dimanfaatkan sebagai lokasi penganjuran pelbagai aktiviti pada masa akan datang.

“Hiasan landskap dengan deretan pokok serta pemasangan kipas mewujudkan persekitaran yang nyaman sehingga mendapat pujian daripada pengunjung.
“Lebih banyak aktiviti akan dirancang di lokasi ini,” ujarnya lagi.
Pelbagai aktiviti, semarakkan budaya sukan
Pada program itu, pelbagai aktiviti diadakan seperti timbang bola dan pertandingan e-sukan selain pameran model kediaman di reruai PKNS Homes.
Kehadiran pemain Selangor FC, Safuwan Baharudin, Eduardo Sosa, Adib Ra’op, Alexander Agyarkwa, Syahir Bashah, Zikri Khalili dan Sikh Izhan memeriahkan suasana.

Manakala deretan trak makanan turut disediakan menjadikan Aneka Walk umpama festival komuniti yang berlangsung hingga awal pagi Sementara itu, Safuwan menyifatkan penganjuran acara itu berjaya meng- himpunkan peminat bola sepak dalam suasana meriah.
“Saya menyangka program ini sekadar sesi santai bersama penyokong tetapi teruja melihat suasana di Aneka Walk.
“Ini kali kedua saya datang dan saya lihat tempat ini sangat sesuai untuk keluarga kerana luas, nyaman serta berpotensi menjadi antara tarikan baharu di Shah Alam,” katanya.
Dalam pada itu, beliau meluahkan kegembiraan dapat kembali bertemu penyokong selepas berehat agak lama daripada aktiviti bola sepak.
“Terima kasih kepada PKNS dan peminat yang sudi meluangkan masa menyertai program berkenaan walaupun keesokan harinya merupakan hari bekerja dan persekolahan,” katanya.
Safuwan berkata, program tersebut dapat mendekatkan pemain dengan penyokong sekali gus, menyemarakkan lagi budaya sukan dalam kalangan masyarakat.
“Saya harap bukan bola sepak sahaja yang diketengahkan, sebaliknya lebih banyak acara sukan lain dapat dianjurkan di Aneka Walk pada masa depan.
“Saya yakin lokasi ini berpotensi menjadi hab aktiviti sukan dan komuniti di Shah Alam,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
