Trump mahu 'sempurnakan' Air Force One

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memaklumkan pesawat baharu Air Force One yang dihadiahkan Qatar akan menjalani proses naik taraf menyeluruh selepas timbul kebimbangan mengenai kelengkapan sistem keselamatannya.
Trump menaiki penerbangan pertamanya menggunakan pesawat Boeing 747-8 yang telah diubah suai itu pada awal bulan lalu.
Namun, persoalan timbul selepas beliau menggunakan pesawat lama untuk penerbangan pulang dari Sidang Kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Ankara pada 10 Julai lalu.
Menurut laporan The New York Times, pesawat baharu itu dikatakan tidak mempunyai ciri perlindungan keselamatan yang sama seperti pesawat Presiden terdahulu termasuk sistem pertahanan antipeluru berpandu.
Wartawan akhbar itu kemudiannya menerima sepina daripada pentadbiran Trump.
“Pesawat itu memiliki pelbagai keupayaan, namun setakat yang saya faham, ia akan dihantar dalam tempoh kira-kira sebulan untuk menjalani proses penambahbaikan sehingga mencapai tahap kelengkapan maksimum," kata pemimpin Republikan tersebut tanpa memberikan butiran lanjut.
Sebelum ini, Trump menolak dakwaan terdapat masalah dengan pesawat baharu berkenaan. Beliau memberi alasan pesawat itu dihantar terlebih dahulu dari sidang kemuncak Turkiye ke sebuah pangkalan udara di Britain supaya anggota tentera dapat melihat secara dekat.
Keluarga diraja Qatar menghadiahkan pesawat mewah itu pada tahun lalu selepas Trump merungut mengenai keadaan dua pesawat lama yang digunakan sebagai pesawat rasmi Presiden AS sejak 1990.
Hadiah pesawat yang bernilai ratusan juta dolar daripada kuasa asing itu turut mencetuskan pelbagai kritikan berkaitan isu etika, Perlembagaan dan keselamatan.
Air Force One itu menampilkan reka bentuk warna baharu yang dicadangkan oleh Trump dengan gabungan tiga warna menggantikan reka bentuk lama berwarna putih dan biru muda.
Dua buah pesawat Boeing Air Force One baharu pula dijangka diserahkan menjelang akhir dekad ini selepas mengalami beberapa kelewatan dan peningkatan kos. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

