PRN Negeri Sembilan: Dakwaan calon kena ‘blackout’, tuntut liputan adil sepanjang kempen - Ahmad Zahid

SEREMBAN – Semua agensi media sepatutnya diberi kebebasan untuk membuat liputan dan menyiarkan laporan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menerima maklum balas mengenai dakwaan terdapat calon daripada parti tertentu yang dikenakan 'blackout' atau hanya diberikan ruang liputan yang terlalu kecil.
"Saya pun dengar maklum balas yang sama tentang adanya 'blackout' kepada calon-calon parti tertentu atau diberi ruang yang terlalu kecil.
"Saya fikir berlaku adillah kepada semua. Saya kasihan kepada pengamal media ini. Mereka membuat liputan di semua tempat, melibatkan semua calon, tetapi tidak ada siaran dan tidak ada penerbitan.
"Kesianlah mereka dihantar sekurang-kurangnya sepanjang tempoh kempen ini, tetapi berita yang mereka tulis itu tidak dikeluarkan. Kecillah hati mereka. Jadi tolong jangan kecilkan hati mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bersama Kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Negeri Sembilan dan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kemas di sini pada Selasa.
Menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, liputan sama rata perlu diberikan kepada semua calon tanpa mengira parti politik kerana itulah amalan demokrasi.
Dalam pada itu, ketika ditanya berhubung dakwaan BN menggunakan aset kerajaan untuk berkempen, Ahmad Zahid mendakwa perkara itu dilakukan oleh parti lain.
"Ada orang lain gunakan, tapi saya tidak mahu sebutlah. Saya tahu, saya ada rekod. Ada pula kita tengok kumpulkan di negeri lain pula, lagi jauh," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

