Touch 'n Go uji teknologi titan flow di AKLEH, capai ketepatan pengesanan 99.98 peratus

KUALA LUMPUR – Touch 'n Go Sdn Bhd mendemonstrasikan keupayaan Teknologi Titan Flow menerusi sesi pandu lalu bersama pengamal media di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) di sini pada Selasa.
Inovasi tempatan itu dibangunkan khusus bagi menyokong aspirasi pelaksanaan sistem Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) negara pada masa hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif Touch 'n Go, Praba Sangarajoo berkata, ketepatan 99.98 peratus ini dicapai hasil sinergi pelbagai teknologi yang saling melengkapi.
"Teknologi ini dibangunkan oleh rakyat Malaysia untuk rakyat Malaysia berasaskan pengalaman hampir tiga dekad kami dalam mobiliti negara," katanya ditemui di ibu pejabat Touch 'n Go Sdn Bhd di sini.

Sistem pengesahan pintar ini menggabungkan teknologi RFID, Pengenalan Nombor Plat Automatik (ANPR), Kecerdasan Buatan (AI), Pembelajaran Mesin (ML) dan LiDAR.
Ujian media dijalankan di lorong RFID Dipertingkat baharu yang ditandai simbol bintang emas di Plaza Tol AKLEH Dato Keramat.
Sesi pandu lalu ini mendapat sokongan GWM Malaysia yang menyediakan pelbagai rangkaian kenderaan elektrik, hibrid dan enjin pembakaran dalaman.
Sensor lorong baharu itu mampu mengesan kenderaan pada kelajuan melebihi 50 kilometer sejam, disokong penggunaan dwiantena RFID.
Teknologi gelombang radio RFID lebih stabil berbanding ANPR secara bersendirian yang mencatatkan ketepatan kira-kira 94.5 peratus akibat faktor kejelasan visual.

Praba menambah, RFID kekal sebagai pemboleh utama yang kalis cuaca buruk, manakala ANPR dan AI memperkukuh integriti serta mengelakkan pengklonan.
"Bagi keselesaan pengguna, ciri Baki SOS pada TNG eWallet turut melancarkan kira-kira 36 juta perjalanan jika berlaku masalah baki tidak mencukupi," katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah Urusan Hal Ehwal Korporat GWM Malaysia, Cui Anqi pula menegaskan, komitmen bersama dalam menjadikan mobiliti harian rakyat lebih pintar dan lancar.
Touch 'n Go menyasarkan pemasangan 10 lorong RFID Dipertingkat menjelang akhir tahun ini sebagai persediaan awal ke arah pelaksanaan MLFF.
Ekosistem mobiliti syarikat kini didukung oleh lebih 4.7 juta pengguna RFID berdaftar dan 27 juta pengguna Touch 'n Go eWallet disahkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

