China-Filipina berbalas pukulan di tengah laut

MANILA - Tular aksi pergaduhan antara pengawal pantai Beijing dan kru bot Filipina di kawasan perairan yang menjadi pertikaian antara kedua-dua negara di Laut China Selatan.
Insiden pada Isnin itu berlaku berhampiran Terumbu Thomas Kedua, lokasi kapal perang Filipina BRP Sierra Madre yang sengaja dibiarkan terdampar dan kini digunakan Manila sebagai pos kawalan ketenteraan.
Tentera Filipina mendakwa pengawal pantai China menghampiri pos tersebut sebelum mereka saling berbalas pukulan dengan menggunakan pendayung dan belantan kayu hingga menyebabkan seorang kru cedera.
Namun, China mendakwa dua bot Filipina mengabaikan amaran sebelum melanggar salah sebuah bot rondaan mereka.
Konfrontasi terbaharu itu tercetus ketika Menteri-Menteri Luar Asia Tenggara, termasuk Menteri Luar China Wang Yi, bertemu di Filipina bagi menghadiri mesyuarat yang dijangka memberi tumpuan kepada ketegangan maritim di rantau itu.
Mengikut Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) yang turut diratifikasi China, Terumbu Thomas Kedua terletak dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Filipina.
Beijing bagaimanapun berkeras menuntut supaya pos kawalan itu dipindahkan meskipun ia terletak dalam lingkungan 370 kilometer dari Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Filipina dan kira-kira 1,000 kilometer dari Tanah Besar China. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

