Ayoh Ngoh hilang selepas keluar sarapan

Abdullah atau lebih mesra digelar Ayoh Ngoh kali terakhir dilihat jam 7 pagi pada 19 Julai lalu ketika keluar untuk bersarapan di sebuah kedai.
Abdullah atau lebih mesra digelar Ayoh Ngoh kali terakhir dilihat jam 7 pagi pada 19 Julai lalu ketika keluar untuk bersarapan di sebuah kedai.
A
A
A

​KEMAMAN - Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas keluar bersendirian dari rumah saudaranya di Kampung Baru Neram 1, Cheneh, di sini sejak Ahad lalu.

​Mangsa, Abdullah Besar, 70, atau lebih mesra digelar Ayoh Ngoh, kali terakhir dilihat jam 7 pagi pada 19 Julai lalu ketika keluar untuk bersarapan di sebuah kedai dalam kampung berkenaan.

Komander Operasi, ​Che Ahmad Taqiyuddin Che Yaacob berkata, pihak bilik kawalan menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada pihak polis pada jam 6.40 petang pada Isnin.

​"Seramai tujuh anggota bersama jentera LFRT dan kenderaan utiliti bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai dan tiba pada jam 7 malam.

​"Operasi Pos Kawalan Bomba (PKB) telah dibuka di lokasi kejadian dan tindakan awal pencarian telah dibuat di sekitar kawasan mangsa disyaki hilang iaitu di kawasan ladang kelapa sawit," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

​Mengulas mengenai perkembangan terkini operasi pencarian, Che Ahmad Taqiyuddin memaklumkan bahawa operasi pencarian kini menggunakan teknik 'hasty search'.

​"Radius pencarian bagi sesi pagi ini diperluaskan merangkumi kawasan lima kilometer dari rumah mangsa. Pasukan penyelamat kini menumpukan pencarian di kawasan kebun-kebun sawit berhampiran," katanya.

​Operasi mencari dan menyelamat (SAR) berkenaan dijalankan secara bersepadu melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penduduk kampung.

Difahamkan, ketika kali terakhir dilihat mangsa memakai baju belang berwarna biru putih, berseluar slack hitam serta memakai dua bentuk cincin.

Artikel Berkaitan:

​Sehingga kini, operasi pencarian masih lagi diteruskan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung keberadaan mangsa diminta menghubungi waris, Fazani di talian 016-3174541 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!