[VIDEO] MV Berkat Tuah: JLM tubuh pasukan khas tuntut gaji tunggakan anak kapal

A
A
A

SEPANG - Pasukan khas ditubuhkan Jabatan Laut Malaysia (JLM) bagi membela kebajikan kru kapal MV Berkat Tuah yang berjaya dibawa pulang selepas terkandas di Pelabuhan Hamriyah, Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sejak Oktober tahun lalu.

Ketua Pengarah JLM, Datuk Dickson Dollah berkata, kes MV Berkat Tuah merupakan antara kes pengabaian anak kapal yang kompleks kerana melibatkan pelbagai aspek perundangan, bidang kuasa antarabangsa serta kepentingan pelbagai pihak.

Menurutnya, pada kemuncak krisis, seramai 13 orang anak kapal termasuk 11 rakyat Malaysia, telah terjejas akibat kegagalan pemilik kapal memenuhi tanggungjawab terhadap kebajikan mereka.

"Kes ini kemudiannya direkodkan oleh International Labour Organization (ILO) sebagai kes pengabaian anak kapal (abandonment case).

"Kita sudah wujudkan satu task forces untuk perkara ini. Sebaik sahaja berjaya bawa balik kru ini, kita akan terus berhubung dengan pihak syarikat dan akan laksanakan tuntutan segera," katanya dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini pada Isnin.

Dickson (empat dari kanan) bergambar bersama pegawai NUSPM serta kru kapal MV Berkat Tuah di KLIA Terminal 1 pada Isnin.
Dickson (empat dari kanan) bergambar bersama pegawai NUSPM serta kru kapal MV Berkat Tuah di KLIA Terminal 1 pada Isnin.

Majlis itu menyaksikan lima kru kapal MV Berkat Tuah termasuk seorang Indonesia selamat tiba di KLIA Terminal 1 kira-kira jam 9 pagi, Isnin.

Kesemua mereka merupakan kumpulan akhir daripada 13 kru yang berjaya dibawa pulang.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Dickson berkata, apa yang dapat pihaknya lakukan buat sementara waktu ini ialah menyelesaikan bayaran sebahagian gaji kru terbabit yang tertunggak enam bulan sejak Februari lalu.

Jelasnya, tindakan pembayaran sebahagian gaji kru terbabit dilaksanakan melalui Kumpulan Wang Pusat Perdagangan Laut (KWPPL) dan National Union of Seafarers Peninsular Malaysia (NUSPM).

"Seterusnya, bakinya (tunggakan gaji) akan minta daripada pihak syarikat terbabit yang juga syarikat tempatan...kita buat dengan segera perkara ini.

"Akibat krisis Asia Barat, ini bukan sahaja Malaysia, tapi ada 410 buah kapal lain dengan 6,000 pelaut (seluruh dunia) masih lagi terkandas di sana," ujarnya.

Katanya lagi, sejak dimaklumkan mengenai isu melibatkan kru kapal terbabit, JLM telah menggerakkan usaha secara bersepadu bersama Kementerian Pengangkutan Malaysia, Kementerian Luar Negeri, Kedutaan Besar Malaysia di UAE, Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai, NUSPM.

Selain itu turut terlibat, International Transport Workers’ Federation (ITF), syarikat insurans Protection and Indemnity (P&I), pihak berkuasa UAE, pemilik kapal serta semua pihak berkepentingan bagi memastikan kebajikan dan hak anak-anak kapal terus dipelihara.

"Begitu juga dengan Persatuan-persatuan pelaut di Sabah dan Sarawak yang tidak henti-henti memberikan sokongan moral kepada anak kapal sepanjang mereka berada di sana.

"Apabila keadaan anak-anak kapal semakin membimbangkan, saya sendiri telah mengetuai misi khas ke Emiriah Arab Bersatu bermula 13 Julai lalu bagi meninjau sendiri keadaan di atas kapal.

"Pada masa sama, bertemu secara bersemuka dengan anak-anak kapal, menilai tahap keselamatan kapal serta mengadakan rundingan secara langsung dengan semua pihak yang berkaitan bagi mempercepatkan penyelesaian kes ini.

"Sepanjang misi tersebut, kami mendengar sendiri luahan anak-anak kapal yang telah berbulan-bulan terpisah daripada keluarga serta berhadapan dengan tekanan emosi dan ketidakpastian," ujarnya.

Tambah Dickson, pihaknya turut menyaksikan sendiri keadaan kapal dan cabaran operasi yang mereka hadapi.

"Pengalaman tersebut mengukuhkan lagi tekad JLM untuk memastikan mereka dapat dibawa pulang dengan selamat secepat mungkin," katanya.

Tegasnya, walaupun anak-anak kapal telah berjaya dibawa pulang ke tanah air, tugas JLM masih belum selesai.

"Kami akan terus membantu mereka dalam tindakan susulan, termasuk memastikan segala hak dan tuntutan yang masih belum diselesaikan diberikan perhatian sewajarnya mengikut saluran undang-undang yang berkaitan.

"Kes ini menjadi peringatan bahawa kebajikan pelaut bukan sekadar tanggungjawab majikan, tetapi merupakan tanggungjawab bersama seluruh komuniti maritim," katanya.

Menurut beliau, Malaysia akan terus komited melaksanakan tanggungjawabnya selaras dengan prinsip Maritime Labour Convention 2006 (MLC 2006) bagi memastikan kebajikan, keselamatan dan maruah setiap pelaut Malaysia sentiasa dipelihara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!