Adakah rumah itu milik saya?

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

Soalan:

Sejak pemergian emak, sayalah yang menjaga ayah yang uzur sehingga ke akhir hayat, sedangkan adik-beradik lain jarang pulang atau mengambil tahu keadaannya. Sepanjang hayatnya, ayah beberapa kali menyatakan hasrat secara lisan untuk menghadiahkan rumah kepada saya sebagai tanda penghargaan kerana menjaganya. Namun, arwah tidak sempat menyediakan sebarang dokumen rasmi.

Selepas bapa meninggal dunia, adik-beradik saya menuntut supaya rumah tersebut dibahagikan mengikut faraid dan menolak hasrat arwah kerana tiada bukti bertulis. Dalam keadaan ini, adakah hasrat lisan tersebut mempunyai sebarang kesan di sisi hukum syarak dan undang-undang atau rumah itu tetap perlu dibahagikan mengikut faraid?

Jawapan

Ramai ibu bapa pernah mengucapkan kata-kata seperti, "Nanti rumah ini ayah bagi kepada kamu." Namun, apabila mereka meninggal dunia, ungkapan itu sering menjadi punca pertikaian kerana tiada siapa yang dapat membuktikan sama ada ia sekadar hasrat atau benar-benar merupakan hibah yang sah. Hakikatnya, inilah antara konflik yang paling kerap berlaku dalam pengurusan harta pusaka di negara kita.

Saya memahami perasaan seorang anak yang menjaga ibu atau bapanya sehingga ke akhir hayat. Rasa terkilan apabila pengorbanan itu seolah-olah tidak dihargai adalah sesuatu yang sangat manusiawi. Tetapi, dalam menentukan hak terhadap sesuatu harta, kita perlu membezakan antara nilai pengorbanan dengan kehendak hukum syarak dan undang-undang.

Berdasarkan persoalan yang dikemukakan, arwah bapa telah beberapa kali menyatakan secara lisan hasrat untuk menghadiahkan rumah kepada anak yang menjaganya. Walau bagaimanapun, tiada sebarang dokumen rasmi disediakan.

Persoalan ini juga tidak menyatakan sama ada terdapat saksi yang mendengar lafaz hibah tersebut. Oleh itu, penjelasan ini dibuat berdasarkan keadaan bahawa dakwaan hibah tersebut tidak disokong oleh dokumen atau bukti yang mencukupi.

Sebelum menjawab persoalan ini, masyarakat perlu memahami terlebih dahulu maksud hibah lisan. Hibah ialah pemberian harta oleh seseorang kepada orang lain ketika beliau masih hidup tanpa sebarang balasan. Dari sudut hukum syarak, hibah tidak semestinya dibuat secara bertulis. Hibah secara lisan juga boleh menjadi sah sekiranya memenuhi rukun dan syarat yang ditetapkan oleh syarak.

Artikel Berkaitan:

Namun, cabaran utama hibah lisan bukan terletak pada kesahihannya, sebaliknya pada aspek pembuktian. Ketika pemberi hibah masih hidup, beliau sendiri boleh mengesahkan bahawa pemberian tersebut benar-benar telah dibuat.

Sebaliknya, selepas beliau meninggal dunia, sesiapa yang mendakwa bahawa hibah telah berlaku perlu mengemukakan bukti yang boleh diterima oleh Mahkamah Syariah.

Masalah sebenar hibah lisan bukan kerana ia tidak sah, tetapi kerana ia sukar dibuktikan apabila pemberinya telah meninggal dunia.

Berdasarkan pengalaman saya mengendalikan kes-kes perancangan harta dan pentadbiran pusaka, saya mendapati ramai ibu bapa hanya menyatakan hasrat untuk menghadiahkan harta kepada anak yang menjaga mereka tanpa menyediakan sebarang dokumentasi. Selepas mereka meninggal dunia, hasrat tersebut sering dipertikaikan kerana tidak dapat dibuktikan dengan jelas.

Kebanyakan pertikaian pula bukan berpunca daripada nilai harta yang besar, sebaliknya kerana hasrat pemilik harta tidak pernah didokumentasikan. Apa yang hanya diucapkan akhirnya menjadi bahan pertikaian kerana setiap waris mempunyai tafsiran yang berbeza. Sebab itulah saya sering mengatakan bahawa dokumen bukan sekadar memenuhi keperluan undang-undang, malah menjadi suara pemilik harta apabila beliau sudah tiada.

Ucapan seorang bapa seperti, "Rumah ini ayah bagi kepada kamu," tidak menjadikan rumah tersebut secara automatik berpindah milik kepada anak berkenaan. Sebaliknya, dakwaan bahawa suatu hibah telah berlaku perlu dinilai berdasarkan rukun, syarat serta bukti yang boleh diterima, lebih-lebih lagi apabila timbul pertikaian selepas kematian pemberi hibah.

Sekiranya berlaku pertikaian, perkara ini boleh dibawa ke Mahkamah Syariah untuk diputuskan berdasarkan keterangan dan bukti yang dikemukakan oleh pihak-pihak yang terlibat. Beban pembuktian terletak pada pihak yang mendakwa bahawa hibah tersebut telah dibuat. Jika hibah itu berjaya dibuktikan melalui keterangan saksi atau bukti lain yang diyakini oleh mahkamah, tuntutan tersebut boleh dipertimbangkan berdasarkan fakta serta undang-undang yang terpakai.

Sebaliknya, jika hibah tersebut gagal dibuktikan, rumah berkenaan lazimnya akan dianggap sebagai sebahagian daripada harta pusaka arwah.

Dalam keadaan itu, rumah tersebut hendaklah ditadbir dan diagihkan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid atau melalui pembahagian secara muafakat sekiranya semua waris mencapai persetujuan.

Perlu difahami bahawa hukum faraid bukanlah ciptaan manusia, sebaliknya merupakan ketetapan ALLAH SWT. Perkara ini dijelaskan dalam Surah al-Nisa', ayat 11, apabila ALLAH SWT menetapkan hak dan bahagian waris terhadap harta pusaka.

Justeru, sekiranya sesuatu hibah gagal dibuktikan dan harta tersebut masih kekal sebagai harta pusaka, pembahagiannya hendaklah dilaksanakan mengikut ketetapan faraid sebagaimana yang telah ditentukan oleh syarak.

Dalam masa yang sama, masyarakat juga perlu memahami bahawa faraid bukanlah sistem yang menilai siapa yang paling banyak berkorban atau paling rapat dengan ibu bapanya.

Faraid ialah ketetapan syarak yang menentukan waris yang berhak menerima harta pusaka selepas seseorang meninggal dunia. Pengorbanan menjaga ibu atau bapa tidak mengubah kadar bahagian faraid secara automatik.

Namun, ini tidak bermaksud Islam mengabaikan jasa seorang anak yang berbakti. Sebaliknya, Islam memberikan ruang kepada ibu bapa untuk menghargai pengorbanan anak tersebut ketika mereka masih hidup melalui instrumen hibah yang dibuat dengan sempurna serta boleh dibuktikan.

Hak setiap waris terhadap harta pusaka bukanlah ditentukan oleh manusia, tetapi telah diperincikan oleh syarak. Oleh itu, sebarang hasrat untuk memberikan sesuatu harta kepada individu tertentu hendaklah disempurnakan ketika pemilik harta masih hidup mengikut saluran yang diiktiraf oleh hukum syarak dan undang-undang. Langkah ini bukan sahaja melindungi hak penerima, malah mengelakkan pertikaian yang boleh memecah-belahkan hubungan kekeluargaan.

Sebagai ibu bapa, jika benar ada anak yang telah berkorban menjaga anda sehingga ke akhir hayat, jangan sekadar melahirkan penghargaan melalui kata-kata. Sempurnakan hasrat tersebut mengikut saluran yang diiktiraf oleh hukum syarak dan undang-undang ketika anda masih hidup.

Jangan biarkan anak yang setia berbakti terpaksa memikul beban untuk membuktikan apa yang pernah anda ucapkan sedangkan anda sendiri sudah tiada untuk menjadi saksi.

Ingatlah, kasih sayang boleh dizahirkan melalui tindakan. Perancangan harta yang dibuat dengan sempurna bukan sahaja melindungi hak anak yang berbakti, malah menjadi hadiah terakhir yang mampu memelihara keharmonian serta silaturahim seluruh keluarga selepas pemergian anda.

*Dr Anne Ismail, Pengasas, Pennawaris Sdn Bhd, Ikon Perancangan Harta dan Pengurusan Pusaka Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!