KDNK 5.8 peratus bukan lesen untuk alpa

Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan KDNK 5.8 peratus pada suku kedua 2026, mengatasi jangkaan penganalisis meskipun berdepan inflasi, konflik geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi global - Gambar hiasan
Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan KDNK 5.8 peratus pada suku kedua 2026, mengatasi jangkaan penganalisis meskipun berdepan inflasi, konflik geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi global - Gambar hiasan
A
A
A

PADA Jumaat lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengumumkan Anggaran Awalan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2026 yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.8 peratus.

Prestasi ini melepasi jangkaan kebanyakan penganalisis ekonomi yang menganggarkan pertumbuhan sekitar 5.3 peratus. Anggaran awal ini juga lebih tinggi berbanding pertumbuhan 5.4 peratus yang direkodkan pada suku pertama 2026.

Ini bermakna ekonomi Malaysia berkembang pada kadar purata 5.6 peratus bagi separuh pertama tahun ini, mengatasi pertumbuhan 4.5 peratus yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Malah, prestasi tersebut turut melebihi unjuran pertumbuhan KDNK bagi keseluruhan tahun 2026, iaitu antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus.

Jika diperhatikan, sepanjang separuh pertama tahun ini, konflik di Iran yang bermula pada 28 Februari 2026 menjadi isu utama yang mencetuskan kebimbangan.

Keadaan itu menyebabkan harga bahan api melonjak berikutan gangguan bekalan minyak dan gas melalui Selat Hormuz, yang menyumbang kira-kira 38 peratus daripada jumlah import negara bagi produk berkenaan.

Selain itu, komuniti perniagaan dan orang ramai turut bimbang terhadap jaminan bekalan bahan api negara sehingga kerajaan melaksanakan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi penjawat awam serta menggalakkan sektor swasta mengambil langkah yang sama.

Namun begitu, pertumbuhan ekonomi Malaysia terus mengatasi kebanyakan negara serantau.

Sebagai contoh, ekonomi China dan Singapura masing-masing berkembang pada kadar 4.3 peratus dan 5.7 peratus pada suku kedua, berbanding 5.0 peratus dan 6.3 peratus pada suku pertama tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Keadaan ini meletakkan Malaysia antara ekonomi yang mencatatkan pertumbuhan paling kukuh di rantau Asia.

Walau bagaimanapun, kadar inflasi negara meningkat kepada 2.0 peratus pada suku kedua 2026 berbanding 1.6 peratus pada suku sebelumnya.

Peningkatan ini didorong terutamanya oleh kenaikan subindeks Pengangkutan sebanyak 3.5 peratus berbanding sifar peratus pada suku pertama.

Perincian indeks menunjukkan kenaikan harga diesel sebanyak 38.1 peratus pada suku kedua, berbanding 3.5 peratus pada suku pertama, menjadi penyumbang utama kepada peningkatan inflasi.

Sementara itu, harga petrol hanya meningkat 5.0 peratus berbanding penguncupan 1.5 peratus pada suku pertama.

Berdasarkan fakta-fakta ini, ekonomi Malaysia dilihat kekal berdaya tahan meskipun berdepan cabaran yang besar.

Usaha kerajaan melaksanakan subsidi bahan api secara bersasar menggunakan MyKad dilihat berjaya mengurangkan kesan kenaikan harga bahan api global terhadap rakyat.

Walau bagaimanapun, prestasi yang memberangsangkan ini bukanlah alasan untuk kita berasa selesa atau alpa terhadap risiko ekonomi global. Hal ini kerana dasar perdagangan yang bersifat perlindungan (protectionist) masih diamalkan di Amerika Syarikat (AS).

Selain itu, konflik antara AS dan Israel dengan Iran masih belum berakhir, manakala keadaan laluan perkapalan di Selat Hormuz juga kekal tidak menentu.

Sehubungan itu, rakyat disaran agar sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

Pada masa yang sama, pengurusan kewangan yang berhemah perlu terus diamalkan supaya kedudukan kewangan isi rumah kekal kukuh dalam menghadapi sebarang ketidaktentuan ekonomi.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!