KRW FC serah dokumen lengkap kepada FIFA, yakin keputusan memihak kelab

Muhamad Zaki (depan, tiga dari kanan) dan Mohd Nazif (depan, empat dari kanan) pada Majlis Pengenalan Penaja KRW FC Musim 2026/27 di Kota Bharu pada Ahad.
Muhamad Zaki (depan, tiga dari kanan) dan Mohd Nazif (depan, empat dari kanan) pada Majlis Pengenalan Penaja KRW FC Musim 2026/27 di Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KELANTAN Red Warrior FC (KRW FC) sudah melengkapkan semua dokumen berkaitan untuk dikemukakan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bersabit sekatan pemain dikenakan ke atas pasukan itu oleh badan induk berkenaan.

Presidennya, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, beberapa siri perbincangan dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah diadakan bagi menyelesaikan tuntutan itu.

"Kita berharap perkara tersebut dapat diselesaikan sebelum sepak mula Liga Super musim baharu," katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.

Sebelum itu beliau hadir pada Majlis Pengenalan Penaja KRW FC Musim 2026/27 dan hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Nazif Ab Aziz.

Sebelum ini, KRW FC dikenakan tujuh sekatan perpindahan oleh FIFA membabitkan tuntutan tunggakan gaji bekas pemain import, Dannis Buschening, Mario Arques, Kervens Belfort, Nuha Marong Krubally dan Ismahil Akinade serta dua bekas jurulatih dari Korea Selatan, Kim Ming-yu dan Choi Moon-sik.

Menurut beliau, semua pihak berkenaan memahami bahawa tuntutan melibatkan tunggakan gaji lima pemain import dan dua jurulatih dari Korea Selatan itu bukan berpunca daripada pengurusan KRW FC.

"Dalam pertemuan yang diadakan, FAM, MFL dan AFC sudah memahami kedudukan sebenar. Isu ini dipercayai timbul akibat kekeliruan terhadap nama dan logo kelab sehingga membuka ruang kepada tuntutan dibuat terhadap KRW FC.

"Kita sudah memberikan penjelasan dan kini hanya menunggu keputusan selepas semua dokumen lengkap diserahkan kepada FIFA. Insya-ALLAH keputusan dijangka diperoleh kira-kira seminggu selepas tamat Piala Dunia," katanya.

Muhamad Zaki memberitahu, beliau percaya keputusan FIFA akan memihak kepada KRW FC berdasarkan fakta dan dokumen yang dikemukakan, selain mendapat sokongan serta kefahaman daripada FAM, MFL dan AFC.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, ujar beliau, kelab itu turut mengambil langkah perundangan bagi mempertahankan hak mereka.

"Dari sudut undang-undang, kita sudah memulakan proses dan tindakan sedang berjalan.

"Kita yakin semua usaha yang dilakukan ini akan membolehkan isu sekatan diselesaikan dalam masa terdekat, sekali gus memberi laluan kepada KRW FC menghadapi saingan Liga Super tanpa sebarang halangan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!