Hati-hati guna AI, elak kesilapan Jalur Gemilang - Fahmi

Fahmi pada sidang media sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 (MPBKKJG 2026) di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS) Tanjung Rambutan, hari ini. Foto: Bernama
Fahmi pada sidang media sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 (MPBKKJG 2026) di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS) Tanjung Rambutan, hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

IPOH – Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil mengingatkan semua pihak berhati-hati ketika menjana kandungan berkaitan Jalur Gemilang menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi mengelakkan kesilapan yang boleh mencemar simbol kedaulatan negara.

Beliau menegaskan, antara perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah memastikan elemen penting seperti 14 jalur pada Jalur Gemilang tidak tersilap atau tidak lengkap apabila dihasilkan menerusi teknologi berkenaan.

“Rakyat perlu mengambil sedikit masa untuk memahami tatacara mengibar Jalur Gemilang yang betul dan juga berhati-hati apabila menjana kandungan menggunakan AI supaya tidak berlaku kesilapan.

“Perkara seperti kekurangan 14 jalur ini sangat penting dan tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS), di sini pada Ahad.

Majlis berkenaan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Fahmi berkata, tindakan sewajarnya di bawah peruntukan undang-undang sedia ada akan diambil terhadap mereka yang tersalah menghasilkan kandungan ataupun mengibarkan Jalur Gemilang secara tidak tepat.

“Langkah pertama ialah menasihatkan dan kita akan cuba berhubung dengan pihak terlibat supaya memperbetulkan kesilapan tersebut.

“Sekiranya tidak diperbetulkan, barulah kita akan teliti tindakan susulan undang-undang," katanya.

Dalam masa sama, Fahmi berkata, berhubung paparan Jalur Gemilang, pihaknya akan bekerjasama dengan Institut Akhbar Malaysia (MPI) dan Majlis Media Malaysia untuk mengedakan berbincang lanjut bersama agensi-agensi media.

Artikel Berkaitan:

"Ini bagi memastikan representasi Jalur Gemilang, termasuk yang dijana menggunakan AI, dipaparkan dengan tepat sepanjang Bulan Kebangsaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!