Detik penentuan nasib Zizie Izette diketahui esok

KUALA LUMPUR – Penantian lebih tujuh tahun bakal berakhir apabila pelakon, Datin Seri Zizie Izette A Samad, akan mengetahui nasibnya di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.
Sama ada dilepaskan daripada tiga pertuduhan bersubahat menerima rasuah berjumlah RM2.8 juta atau disabitkan bersalah, segala persoalan yang berlarutan sejak 2019 dijangka terjawab apabila Hakim Rosli Ahmad membacakan keputusan di akhir kes pembelaan pada jam 9 pagi.
Sekiranya disabitkan bersalah, Zizie Izette, 48, berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, bagi setiap pertuduhan.
Hukuman itu diperuntukkan di bawah Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 24(1) akta sama.
Bagaimanapun, jika mahkamah memutuskan sebaliknya, pelakon yang pernah memenangi Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2001 menerusi drama Aduhai Esah itu akan dilepaskan dan dibebaskan daripada semua pertuduhan.
Kes berprofil tinggi itu bermula pada 3 Mei 2019 apabila Zizie Izette dan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin didakwa atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan pelaburan RM150 juta Felcra Berhad dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Pada 2 September 2022, Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob memerintahkan kedua-duanya membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi pada 7 September 2023 membenarkan permohonan semakan pasangan itu, sekali gus mengetepikan keputusan tersebut serta melepas dan membebaskan mereka daripada semua pertuduhan.
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid mendapati tiada bukti dua ejen pelaburan Public Mutual, iaitu saksi pendakwaan ke-24 (SP24), Madhi Abdul Hamid, 45, dan saksi pendakwaan ke-25 (SP25), Norhaili Ahmad Mokhtar, 49, memberikan wang kepada Bung Moktar melalui isterinya.
Keputusan itu bagaimanapun tidak kekal apabila Mahkamah Rayuan pada 22 Mei 2025 membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mengarahkan mereka kembali membela diri.
Perjalanan kes itu berubah apabila Bung Moktar meninggal dunia pada 5 Disember 2025 pada usia 66 tahun akibat kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan paru-paru ketika menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah.
Susulan kematiannya, Mahkamah Sesyen pada 16 Januari lalu membebaskan bekas Ketua UMNO Sabah itu daripada ketiga-tiga pertuduhan selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan prosiding terhadapnya.
Berbeza dengan Zizie Izette apabila perbicaraan terhadapnya diteruskan sehingga selesai memberi keterangan membela diri pada 5 Mac lalu sebelum pihak pembelaan menutup kes.
Bagi pertuduhan pertama, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, dengan memperoleh suapan wang tunai RM2.2 juta daripada Madhi.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi suaminya mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta dalam produk unit amanah Public Mutual.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, antara jam 12.30 tengah hari hingga 5 petang pada 12 Jun 2015.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, wanita itu didakwa bersubahat dengan Bung Moktar memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM262,500 daripada Madhi dan RM337,500 daripada Norhaili.
Perbuatan itu didakwa dilakukan melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) dan Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama.
Dua kesalahan itu didakwa dilakukan di bank sama pada jam 12.16 tengah hari dan 12.18 tengah hari pada 19 Jun 2015.
Setiap pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

