Jasad ditemui selepas dua jam kemalangan

ALOR GAJAH - Jasad seorang penunggang motosikal hanya ditemui orang awam selepas dua jam kemalangan di Jalan Air Tanai, Air Paabas di sini pada Sabtu.
Mangsa, Abd Rahim Yusuf, 38, dipercayai terlibat terlibat nahas sekitar jam 5 pagi selepas motosikal jenis Modenas Kriss ditunggangnya hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, siasatan awal kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Kampung Air Tanai menghala ke Jalan Air Paabas.

“Akibat kemalangan itu, mangsa yang masih bujang disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat,” katanya pada Sabtu.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Loh Gia Xao atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

