'Sangkakan lampu LED, rupanya...'


SHAH ALAM – Seorang pengguna media sosial berkongsi detik mengejutkan apabila objek yang pada mulanya disangka cahaya lampu diod pemancar cahaya (LED) di atas tanah sebenarnya dua ekor ular yang sedang bergelut.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di platform Threads oleh pengguna @mhdam.rl, individu terbabit berkata, cahaya berkelip yang menarik perhatiannya itu kelihatan seakan-akan lampu LED sebelum dia menyedari ia berpunca daripada pergerakan dua ekor ular.
Menurutnya, kedua-dua reptilia tersebut dilihat saling bergelut sambil berpusing di atas lantai, sekali gus mencetuskan suasana yang mengejutkan.
"Pada mulanya saya ingat cahaya daripada lampu LED, rupa-rupanya dua ekor ular sedang bergaduh sambil berpusing," katanya menerusi hantaran berkenaan.
Perkongsian itu pantas tular apabila meraih lebih tiga juta tontonan dalam tempoh beberapa jam, selain menerima pelbagai reaksi daripada warga maya.
Rata-rata netizen mengakui mereka juga pada mulanya menyangka objek yang dilihat dalam video tersebut ialah cahaya lampu LED.
"Memang nampak macam lampu LED, saya siap nak cari suis untuk tutup," tulis seorang pengguna.
Seorang lagi pengguna pula berseloroh dengan membandingkan situasi itu dengan permainan zaman kanak-kanak di padang sekolah kerana pergerakan kedua-dua ular tersebut yang berpusing-pusing.
Seorang pengguna lain turut mengakui hanya menyedari terdapat dua ekor ular selepas melihat video itu beberapa kali kerana cahaya yang dipantulkan membuatkan pandangannya keliru.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

