Seludup tembakau guna dron ke Penjara Sungai Udang

Suspek lelaki mengaku menerbangkan dron bagi meninjau lokasi pendaratan sebelum menyeludup masuk tembakau kepada seorang banduan di Penjara Sungai Udang. Foto hiasan
Suspek lelaki mengaku menerbangkan dron bagi meninjau lokasi pendaratan sebelum menyeludup masuk tembakau kepada seorang banduan di Penjara Sungai Udang. Foto hiasan
A
A
A

MELAKA - Polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita selepas dipercayai terlibat dalam cubaan menyeludup barang larangan ke dalam Penjara Sungai Udang menggunakan dron dalam serbuan di Taman Kris Satria Sungai Udang Rabu lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, laporan berhubung kejadian diterima jam 3.10 petang sebelum serbuan dijalankan di sebuah rumah sekitar di kawasan berkenaan sekitar jam 4 petang pada hari sama.

Menurutnya, serbuan tersebut membawa kepada penahanan suspek seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun dan seorang wanita tempatan berusia 27 tahun.

“Hasil pemeriksaan turut membawa kepada rampasan pelbagai barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan itu termasuk peralatan dron, bahan yang disyaki untuk diseludup, peranti komunikasi serta beberapa barangan lain bagi membantu siasatan.

“Semakan rekod mendapati suspek lelaki mempunyai 12 rekod jenayah dan tiga rekod berkaitan kesalahan dadah, manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek lelaki mengaku menerbangkan dron bagi meninjau lokasi pendaratan sebelum menyeludup masuk tembakau kepada seorang banduan di Penjara Sungai Udang.

“Polis turut percaya kegiatan itu dilakukan hasil pakatan dengan seorang banduan dan usaha mengesan individu terbabit sedang dijalankan dengan kerjasama pihak Penjara Sungai Udang.

“Kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 58 Akta Penjara 1995,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Polis Melaka memandang serius penyalahgunaan dron bagi tujuan jenayah, khususnya melibatkan cubaan menyeludup barang larangan ke institusi penjara, dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Hotline Polis Melaka di talian 06-2851999 bagi membantu siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!