Halang pili bomba, nyawa terancam

PUTRAJAYA – Longgokan kayu, tanah dan pokok bunga selain binaan bersimen merupakan antara bentuk halangan yang menjejaskan fungsi pili bomba.
Halangan pada pili bomba boleh memberi kesan besar kepada kelancaran operasi pemadaman kebakaran.
Sekiranya pili bomba tertutup, tersembunyi, terkepung, rosak atau sukar diakses, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengambil masa lebih lama untuk mendapatkan bekalan air.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Nordin Pauzi berkata, bentuk halangan yang boleh menjejaskan fungsi pili bomba ialah perbuatan menutup, mengepung atau menyembunyikan pili bomba sehingga kedudukannya sukar dikenal pasti.
“Contoh meletakkan longgokan sampah, kayu, tanah, pasir, kain, kanvas, besi, tar, pokok bunga, tembok, pagar, tayar, tong, timbunan barang atau binaan lain di kawasan pili bomba.
“Selain itu, kerja-kerja berhampiran pili bomba seperti turap jalan, kerja tanah, pembinaan, pengubahsuaian atau kerja utiliti yang menjejaskan laluan, kedudukan pili bomba atau paras alur keluarnya juga dikategorikan sebagai kerja yang menjejaskan.
“Di bawah Seksyen 23 Akta Perkhidmatan Bomba 1988, pihak yang menjalankan kerja sedemikian perlu memberi notis bertulis kepada Pengarah Negeri yang berkenaan dan memastikan pili bomba berada dalam keadaan baik selepas kerja selesai,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, berdasarkan rekod JBPM setakat Mei lalu, jumlah pili bomba awam di seluruh negara adalah sebanyak 360,858 unit.
Katanya, halangan kepada pili bomba memberi kesan dalam kelewatan proses operasi pemadaman kebakaran.
“Ini meningkatkan risiko kebakaran merebak, mengancam keselamatan mangsa serta anggota bomba dan menambah kerugian harta benda,” ujarnya.
Tambahnya, peruntukan undang-undang dan garis panduan keselamatan JBPM menegaskan pili bomba merupakan sumber air utama menangani kebakaran.
“Tugas operasi JBPM boleh terjejas sekiranya pili bomba gagal berfungsi, terhalang atau sukar dikesan kedudukannya,” jelasnya.
Menurut Nordin, berdasarkan kepada perancangan bandar dan pembangunan semasa atau baharu oleh pihak berkuasa tempatan, penentuan keperluan pemasangan pili bomba di sesuatu kawasan atau bangunan adalah merujuk kepada Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UKBS) 1984.
Jelasnya, kemudahan pili bomba ditempatkan di kawasan yang memerlukan akses bekalan air bagi tujuan pemadaman kebakaran, khususnya di kawasan perumahan, premis perniagaan, kompleks, kilang, kawasan bandar, kampung serta kawasan pembangunan baharu.
“Dari segi keperluan teknikal, setiap bangunan hendaklah dilengkapkan dengan sekurang-kurangnya satu pili bomba yang ditempatkan tidak melebihi 30 meter daripada tempat akses pasukan bomba, manakala jarak antara pili bomba hendaklah tidak melebihi 90 meter, tertakluk kepada saiz bangunan, kedudukan premis dan keperluan akses perkakas bomba.
“Penempatan ini penting bagi memastikan pasukan bomba dapat memperoleh bekalan air dengan segera, mencukupi dan berterusan semasa operasi pemadaman kebakaran,” ujarnya.
Katanya lagi, berdasarkan rekod dalam tempoh lima bulan tahun ini sejak Januari, sebanyak 6,073 jenis kerosakan pili bomba awam dikenal pasti.
“Antara jenis kerosakan yang dikesan ialah pili bomba diturap dengan tar, tanah atau pasir, selain mengalami kebocoran, tiang pili dan spindle valve patah serta dan tidak berfungsi,” katanya.
Aset keselamatan penting
Nordin berkata, JBPM menetapkan keperluan pemeriksaan pili bomba sekurang-kurangnya sekali setahun dengan melaksanakan pengujian, pembersihan, pengecatan, baik pulih dan pemantauan kebolehfungsian pili bomba secara berkala.
“Pemeriksaan ini bertujuan memastikan pili bomba sentiasa berada dalam keadaan baik, mudah dikenal pasti dan boleh digunakan pada bila-bila masa semasa kecemasan.
“Selain pemeriksaan berkala, JBPM turut melaksanakan tindakan susulan terhadap aduan kerosakan, penyelarasan dengan pihak berkuasa air, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju selain pelaksanaan program komuniti seperti Teman Pili Bomba bagi meningkatkan penglibatan masyarakat dalam menjaga kemudahan tersebut,” ujarnya.

Menurut beliau, statistik pemeriksaan pili bomba awam sehingga Mei lalu ialah sebanyak 163,366 unit.
Jelasnya, JBPM telah menetapkan isu pili bomba sebagai salah satu keutamaan jabatan.
“Penyelesaian isu pili bomba memerlukan kerjasama strategik pelbagai pihak termasuk PBT, pemilik premis, pengurusan bangunan dan komuniti setempat memandangkan tanggungjawab penyelenggaraan dan aksesibiliti pili bomba merupakan tanggungjawab bersama.
“Setiap pemilik dan pengurusan premis bertanggungjawab memastikan pili bomba tidak rosak, tidak dihalang dan sentiasa dalam keadaan berfungsi,” tambahnya.
Jelasnya, sebarang kegagalan mematuhi keperluan ini boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan termasuk kompaun kerana ia mengancam nyawa dan keselamatan orang ramai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
