Baru dua tiga hari 'peluk' UMNO dah tuduh Bersatu pecahkan penyatuan Melayu - Marzuki

Marzuki
Marzuki
A
A
A

SHAH ALAM – Dakwaan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi punca perpecahan penyatuan Melayu jika bertanding menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak berasas sama sekali, tegas Datuk Dr Marzuki Mohamad.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin itu berkata, pihaknya hairan dengan dakwaan sedemikian sedangkan Pas yang sudah 75 tahun menentang UMNO tidak pula dituduh memecahkan penyatuan Melayu.

Menurut beliau, rundingan dengan membawa 'wish list' sebanyak mungkin kerusi yang diinginkan untuk pilihan raya sebenarnya merupakan perkara biasa.

"Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa hendak memberitahu bahawa Bersatu menuntut terlalu banyak kerusi. Kemudian beliau berkata, jika ada parti ketiga yang bertanding menentang PN, Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH), parti itu berniat memecahkan penyatuan Melayu dan mesti dihukum.

"Pas sudah 75 tahun menentang UMNO, tidak pula dituduh memecahkan penyatuan Melayu. Baru dua tiga hari bekerjasama dengan UMNO, sudah menuduh pihak yang menentang UMNO dan Pas memecahkan penyatuan Melayu.

"Logik apa ini? Rundingan membawa 'wish list' sebanyak mana kerusi pun itu perkara biasa. Apabila dirundingkan, daripada 15 kerusi yang diminta mungkin hanya lima atau enam kerusi diperoleh. Itulah adat berunding," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini, Annuar berpendapat bahawa pihak yang cuba menggagalkan pertembungan satu lawan satu dalam PRN Negeri Sembilan dianggap menyanggah muafakat dan aspirasi rakyat serta mesti dihukum.

Terdahulu, PN mengumumkan bakal bertanding di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Negeri Sembilan yang berlangsung pada 1 Ogos ini.

Perkara itu diumumkan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semasa Majlis Pengumuman Calon PN Negeri Sembilan di Kompas Kampung Ismail, Seremban pada Khamis malam.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, daripada 11 kerusi yang ditandingi, lima kerusi diperuntukkan kepada Pas, empat kepada Parti Wawasan Rakyat (Wawasan), satu kepada Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan satu kepada Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Sementara itu, Marzuki mendakwa rundingan dengan Bersatu dihentikan tanpa sebab yang munasabah oleh PN.

Tambahnya, 'nawaitu' yang sebenar ialah gabungan itu tidak membenarkan Bersatu bertanding walaupun satu kerusi menggunakan logo PN, menyebabkan pihaknya terpaksa menggunakan logo sendiri.

"Jadi, apa pilihan Bersatu? Bertanding guna logo sendirilah," ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa parti ditubuhkan untuk bertanding dalam pilihan raya dan perkara itu termaktub dalam tujuan penubuhan mengikut perlembagaan mana-mana parti politik.

"Jika tiada tujuan bertanding dalam pilihan raya dinyatakan dalam perlembagaannya, pertubuhan itu bukan parti politik, sebaliknya badan bukan kerajaan (NGO). Bersatu ialah parti politik, takkan tidak boleh bertanding?

"Ibarat begini. Apabila awak menjadi tuan rumah PN, awak mengunci Bersatu di dalam bilik.

"Apabila Bersatu menendang pintu rumah untuk membebaskan diri, awak menuduh Bersatu merosakkan harta benda. Ini sifat pembuli," kata Marzuki lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!