MOCCIS sumbang RM10,000 kepada UKKM perkukuh sinergi pengajian tinggi, gerakan koperasi

KUALA LUMPUR – Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) menerima sumbangan replika cek bernilai RM10,000 daripada Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu Malaysia Berhad (MOCCIS) sebagai sokongan kepada Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) universiti berkenaan.
UKKM berkata, sumbangan tersebut menandakan satu lagi langkah dalam mengukuhkan hubungan strategik antara UKKM dengan MOCCIS selaku salah sebuah koperasi tertua dan terbesar di negara ini ke arah memajukan penyelidikan serta inovasi.
Menurut kenyataan itu, sumbangan RM10,000 mampu menyokong RMC UKKM dalam menjalankan penyelidikan gunaan, kajian dasar dan inisiatif pembangunan kapasiti yang memberi manfaat secara langsung kepada sektor koperasi negara.
"Kerjasama antara UKKM dan MOCCIS ini mencerminkan kepercayaan bersama bahawa sektor koperasi yang mampan serta berdaya saing memerlukan asas penyelidikan yang kukuh.
"Penyaluran sumbangan ini membolehkan RMC UKKM memperluaskan kajian berasaskan bukti mengenai tadbir urus koperasi, kemampanan kewangan dan keusahawanan.
"Dapatannya boleh diaplikasikan ke seluruh gerakan koperasi, termasuk dalam MOCCIS sendiri dan koperasi lain di seluruh negara," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Majlis penyerahan replika cek yang berlangsung di Hotel De MOCCIS itu turut bertujuan memperkukuh strategi UKKM dalam membina jalinan industri bersama koperasi, institusi kewangan serta badan sektor koperasi bagi memastikan program akademik dan penyelidikan universiti kekal relevan.
Ia juga melengkapkan usaha berterusan yang dijalinkan UKKM bersama pihak berkepentingan dalam gerakan koperasi, selaras dengan usaha memperkasa sektor tersebut sebagai tunjang ekonomi Malaysia.
Ditubuhkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), UKKM merupakan institusi pengajian tinggi khusus negara dalam bidang keusahawanan dan koperasi.
UKKM dibangunkan bagi melahirkan graduan serta menghasilkan penyelidikan yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi koperasi.
MOCCIS yang pada asalnya dikenali sebagai 'Malay Officers Cooperative Credit and Investment Society' ditubuhkan pada 1934 dan kekal sebagai salah sebuah koperasi tertua di negara ini, dengan rekod panjang menyokong pelbagai inisiatif pembangunan komuniti serta ekonomi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
