Dewan Rakyat lulus RUU Statistik 2026

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Statistik 2026 yang bertujuan antaranya menggantikan Akta Perangkaan 1965 (Akta 415) bagi mewujudkan satu kerangka perundangan yang lebih moden, komprehensif serta selaras dengan ekosistem data dan statistik semasa.
RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan oleh 21 Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Akta 415 telah diguna pakai bagi tempoh yang panjang, iaitu selama 61 tahun.
"Justeru, perundangan yang dikemas kini membolehkan penghasilan data dan statistik yang menggambarkan keadaan semasa negara dengan lebih tepat merangkumi bidang sosial, ekonomi dan alam sekitar,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan.
Katanya, penghasilan statistik yang merangkumi banci, tinjauan, data pentadbiran, data geospasial dan sumber data baharu memerlukan satu kerangka perundangan yang lebih komprehensif dan fleksibel bagi membolehkan pengeluaran statistik rasmi adalah tepat dan responsif kepada keperluan pengguna.
"Melalui penubuhan Majlis Statistik Negara, satu platform penyelarasan yang lebih berstruktur dan berwibawa dapat diwujudkan bagi memastikan pembangunan statistik dan data negara dilaksanakan secara lebih tersusun, strategik dan bersepadu,” katanya.
Beliau berkata, penggubalan RUU itu juga berpandukan kepada saranan, garis panduan dan amalan terbaik antarabangsa yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Suruhanjaya Statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan Suruhanjaya Ekonomi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Eropah (UNECE).
Katanya, tujuh sesi libat urus telah diadakan bersama kementerian, jabatan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, institusi akademik, pemain industri dan pihak swasta melibatkan seramai 510 peserta dalam menyediakan RUU itu.
Akmal Nasrullah berkata, RUU Statistik 2026 akan memperkukuh fungsi penyelarasan statistik negara dan memastikan statistik yang dihasilkan adalah konsisten, seragam dan boleh dibandingkan selaras dengan era pendigitalan.
"RUU Statistik 2026 turut memperkukuh perlindungan kerahsiaan data selaras dengan Prinsip Asas Perangkaan Rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mengiktiraf kerahsiaan sebagai antara prinsip teras statistik rasmi.
"Semua data yang diperoleh adalah bagi tujuan penghasilan statistik rasmi negara dan tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang ketat,” katanya.
Mengenai Pusat Repositori yang dibangunkan oleh Jabatan Statistik Malaysia, beliau berkata ia akan mengintegrasikan data daripada pelbagai sumber bagi tujuan penyediaan statistik rasmi negara.
"Repositori ini secara prinsipnya akan meningkatkan kebolehgunaan data menyokong analisis rentas sektor mengelak data berada dalam silo dan menyediakan statistik yang lebih menyeluruh untuk pembangunan negara,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
