Program CSR kucing angkat di Melaka diteruskan setiap Sabtu terakhir bulan

MELAKA TENGAH - Cat Supermarket meneruskan 'Give Them A Home' sebagai program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bulanan bermula Julai susulan kejayaan memadankan sembilan ekor kucing terbiar dengan keluarga angkat pada Jun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Cat Supermarket, Datuk Chew Chert Fong berkata, setiap kucing yang diselamatkan mempunyai kisahnya tersendiri.
Justeru, melalui 'Give Them A Home', pihaknya berharap dapat memberikan peluang kedua buat kucing terbiar itu untuk menikmati kehidupan yang lebih selamat, sihat dan penuh kasih sayang.
"Ada yang dibuang, ada yang dilahirkan di jalanan dan ramai yang tidak pernah merasai kasih sayang keluarga.
"Setiap adopsi yang berjaya bukan sahaja mengubah kehidupan seekor kucing, malah membuka ruang buat seekor lagi kucing jalanan untuk dijaga dan diselamatkan.
"Cat Supermarket selaku penganjur berharap program bulanan ini menjadi salah satu inisiatif CSR komuniti yang berterusan di Melaka, sekali gus menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia memilih untuk 'adopt and don't buy' dan mengamalkan pemilikan haiwan peliharaan yang bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Program itu turut mendapat sokongan Evocat Cat Food sebagai penaja utama, CS Vet Medical Centre selaku penaja baucar veterinar serta kerjasama Melaka Strays Guardian Alliance (MSGA) dan Pertubuhan Pencinta Hidupan Melaka (PPHM).
Diadakan pada Sabtu terakhir setiap bulan, program kucing angkat tersebut berlangsung dari jam 1 tengah hari hingga 5 petang bertempat di Cat Supermarket cawangan Bukit Baru, Melaka.
Penganjuran seterusnya diadakan pada 25 Julai, 29 Ogos, 26 September, 31 Oktober, 28 November dan 26 Disember.
Chert Fong berpandangan, inisiatif sedemikian membuktikan bahawa apabila sektor perniagaan, organisasi kebajikan haiwan, klinik veterinar dan masyarakat berganding bahu, perubahan yang besar mampu diwujudkan.
"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Evocat Cat Food, CS Vet Medical Centre, MSGA, PPHM, sukarelawan dan semua keluarga yang mengambil bahagian dalam menjayakan program ini.
"Kami menjemput orang ramai untuk hadir pada setiap program bulanan ini, sama ada ingin mengadopsi, menjadi sukarelawan atau sekadar memberi sokongan.
"Kehadiran orang ramai mampu membawa sinar harapan kepada seekor kucing yang sedang menunggu sebuah keluarga," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
