Terkait ah long, suami isteri didakwa khianat simbah cat merah, baling bom molotov

Pasangan suami isteri itu didakwa melakukan khianat dengan api dengan niat membinasakan empat rumah.
Pasangan suami isteri itu didakwa melakukan khianat dengan api dengan niat membinasakan empat rumah.
A
A
A

IPOH - Sepasang suami isteri yang terkait dengan ah long mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas tiga pertuduhan melakukan khianat dengan api termasuk membaling bom molotov yang menyebabkan kerosakan harta benda, awal Jun lalu.

Tertuduh, M Dhinakaran dan B Rahtheneswary masing-masing berusia 34 tahun membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama melakukan khianat dengan membaling sebotol kaca berisi bahan mudah terbakar (bom molotov) sehingga menyebabkan kerosakan sebuah rumah dan sebuah kereta jenis Honda BRV-V milik seorang wanita di Laluan Rokam 13, Pekan Razaki dalam daerah Kinta kira-kira jam 4 pagi pada 4 Jun 2026.

Bagi pertuduhan kedua, pasangan itu didakwa melakukan khianat dengan api dengan niat membinasakan empat rumah di Lorong Kledang Utara 13, Taman Kledang Suria, Menglembu di Ipoh kira-kira jam 5 pagi pada 11 Jun 2026.

Sementara itu, pertuduhan ketiga, kedua-duanya didakwa melakukan khianat dengan api sehingga menyebabkan kerosakan pada pintu masuk sebuah rumah di Jalan Menglembu Bestari, Ipoh kira-kira jam 3.30 pagi pada 12 Jun 2026.

Sepasang suami isteri yang terkait dengan ah long mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh.
Sepasang suami isteri yang terkait dengan ah long mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 435 kanun sama, masing-masing memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun atau 20 tahun serta denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Raveenaa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah membenarkan jaminan RM11,000 ke atas setiap tertuduh bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin warga tempatan dan menetapkan sebutan semula pada 11 Ogos depan bagi tujuan serahan dokumen dan lantikan peguam.

Sementara itu di Mahkamah Majistret Ipoh, Dhinakaran yang juga bapa kepada lima anak didenda RM7,500 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan khianat membabitkan perbuatan menyimbah cat merah ke atas harta milik individu berasingan, awal Jun lalu.

Majistret S Punitha dan Majistret Norizan Riduan menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.

Perbuatan yang didakwa di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 kanun sama itu dilakukan di tiga lokasi berbeza sekitar Ipoh dan Menglembu antara 4 hingga 8 Jun 2026.

Mahkamah masing-masing menjatuhkan denda RM2,500 bagi setiap pertuduhan dengan hukuman penjara antara enam hingga tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda.

Dalam rayuan, tertuduh yang bekerja sebagai pemandu e-hailing memaklumkan melakukan perbuatan itu selepas didesak ah long berikutan kegagalan melunaskan hutang, selain bimbang keselamatan keluarganya.

Dalam pada itu, Rahtheneswary yang bekerja di pusat jagaan kanak-kanak istimewa turut didakwa bersama atas dua pertuduhan berasingan dan mengaku tidak bersalah.

Mahkamah membenarkan wanita itu diikat jamin RM2,000 bagi setiap kes dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Dalam prosiding ini, kes masing-masing dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zulqarnain Wan Asmira dan S Nishaalini manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Robert S Gnanarajan; Intan Shafini Mior Shahrin; EP Seeralasittan dan Canice Chan Hong Yan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!