Terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang, Abdul Ghani ditemui meninggal dunia

GEORGE TOWN – Seorang lelaki yang dilaporkan terjatuh ke dalam laut di Jambatan Pulau Pinang arah pulau menghala Perai di sini ditemukan meninggal dunia selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan oleh pelbagai agensi.
Mangsa dikenali sebagai Abdul Ghani Mohsin, 39 dikatakan sedang memancing bersama beberapa rakannya di tiang nombor lima jambatan itu sebelum dipercayai terjatuh ke laut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, mangsa ditemukan oleh seorang nelayan pada jam 10.26 pagi Khamis, kira-kira dua kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh ke dalam laut.

"Kita menerima panggilan daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang pada jam 11.16 pagi semalam bagi membantu operasi SAR mangsa.
"Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Bagan Jermal digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 11.30 pagi.
“Pos Kawalan Bomba dibuka di Jabatan Laut Wilayah Utara manakala operasi SAR diselaraskan oleh Maritim Malaysia dengan membabitkan sebuah bot Maritim Malaysia, sebuah bot JBPM, sebuah bot Pasukan Polis Marin dan sebuah bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambahnya, pencarian dilakukan menggunakan kaedah 'water surface searching' dengan radius sehingga lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.
"Selepas mangsa ditemukan oleh nelayan, mayat dibawa ke Jeti Batu Uban sebelum disahkan meninggal dunia.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang bagi proses bedah siasat," ujarnya lagi.
John berkata, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya selepas Pos Kawalan Bomba ditutup.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

