Remaja terselamat selepas 17 jam bawah runtuhan gempa

LA GUAIRA – Seorang remaja yang terselamat selepas terperangkap selama 17 jam di bawah runtuhan bangunan akibat gempa bumi dahsyat di Venezuela mengakui masih dihantui kehilangan empat sahabat karibnya dalam tragedi yang meragut lebih 4,000 nyawa baru-baru ini.
Maria Alejandra Sanz, 17, berkata, kenangan terhadap rakan-rakannya yang maut ketika sedang membuat persiapan persembahan sempena majlis graduasi sekolah masih sukar dipadamkan.
“Jika saya terpaksa mati, biarlah ketika saya sedang tidur," katanya kepada Reuters.
Itulah antara detik yang bermain di fikiran Maria ketika terperangkap dalam timbunan konkrit selepas bangunan di bandar pesisir La Guaira runtuh akibat dua gempa bumi kuat yang melanda utara Venezuela pada 24 Jun lalu.
Maria berkata, dia hanya bergantung kepada semangat untuk terus hidup dan terpaksa meminum air kencing sendiri bagi mengelakkan dehidrasi sepanjang terperangkap di bawah runtuhan.
“Saya nampak sedikit cahaya di celah jari dan tahu saya belum tertimbus terlalu dalam.
“Saya berdoa agar diberi peluang untuk hidup,” katanya.
Menurut Reuters, beberapa minit sebelum gempa bumi berlaku, sahabat karibnya, Gonzalo Marquez, meminta air minuman.
Maria kemudian naik ke tingkat tiga apartmennya untuk mengambil air sebelum bangunan itu mula bergegar dan runtuh.
Tanpa disedari, permintaan rakannya itu menjadi detik yang menyelamatkan nyawanya kerana dia tidak lagi berada di ruang latihan tarian bersama sembilan lagi rakannya ketika bangunan itu roboh.
Daripada 10 ahli kumpulan tarian yang sedang berlatih untuk persembahan graduasi, empat disahkan maut, termasuk Gonzalo.
Seorang lagi rakannya, Isa Campos, pada awalnya masih hidup dan berjaya dikesan oleh sukarelawan di bawah runtuhan.
Bagaimanapun, gadis itu meninggal dunia selepas peralatan menyelamat yang diperlukan gagal tiba tepat pada masanya, kata bapanya, Jeffry Campos.
Maria berkata, dia masih tertanya-tanya sama ada rakan-rakannya dapat diselamatkan sekiranya bantuan tiba lebih awal.
“Mengapa saya yang masih hidup sedangkan mereka sudah tiada?
“Kami bercakap tentang universiti, masa depan dan mahu membina negara kami. Kini semua itu hanya tinggal impian,” katanya.
Gempa bumi berkembar berukuran 7.2 dan 7.5 magnitud itu setakat ini mengorbankan lebih 4,000 orang serta mencederakan hampir 17,000 mangsa, selain memusnahkan ribuan kediaman dan bangunan di beberapa kawasan di Venezuela.
Maria yang bercita-cita menjadi arkitek berkata, dia akan terus mengejar impiannya sebagai penghormatan kepada rakan-rakan yang tidak sempat menikmati masa depan.
“Mereka akan kekal muda buat selama-lamanya dalam ingatan saya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

