AQ15: Kisah di sebalik nombor pendaftaran kereta, jadi inspirasi nama

SHAH ALAM – Bukan semua individu mempunyai kisah luar biasa di sebalik nama yang diberikan, namun perkongsian seorang lelaki di Threads mencuri perhatian ramai apabila namanya mempunyai kaitan dengan nombor pendaftaran kenderaan.
Muhamad Aqis Hakim Jasman, 37, berkata, nama itu menjadi kenangan paling bermakna bersama arwah bapanya selepas nombor pendaftaran kenderaan yang mengilhamkan nama tersebut terpaksa dilepaskan lebih dua dekad lalu.
"Setiap kali ditanya mengenai maksud nama, saya hanya mampu tersenyum kerana kisah sebenar di sebaliknya agak unik.
"37 tahun lalu, aku lahir dan arwah papa menamakan aku sama dengan nombor plat kereta dia ketika itu. Jadi, apabila orang tanya apa maksud nama aku, aku gelak sahaja," tulisnya menerusi akaun Threads miliknya, Kebi.
Ujarnya, sekitar tahun 2000, bapanya diisytiharkan muflis sehingga keluarga terpaksa melepaskan banyak harta bagi meneruskan kehidupan, termasuk nombor pendaftaran kenderaan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, pada Ramadan lalu, dia secara tidak sengaja menemui semula nombor pendaftaran tersebut pada sebuah kenderaan di Wangsa Walk sebelum mengambil gambar sebagai kenangan dan mengirimkannya kepada bapanya.
"Kepada pemilik kereta, harap benarkan saya berkongsi gambar ini," katanya.
Dalam hantaran sama, Muhamad Aqis turut memuat naik gambar bersama arwah bapanya, Allahyarham Jasman Jaffar, sambil menzahirkan rasa rindu dan penghargaan terhadap insan yang disifatkannya sentiasa berada di sisinya sepanjang hayat.
"So this is my late papa, Haji Jasman. The man. The myth. The legend. Always there for me.
"I'll see u on the other side, pa," tulisnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
