Buruh binaan maut terjatuh dari tingkat 34

Mangsa merupakan pekerja sebuah syarikat subkontraktor yang menjalankan kerja-kerja mengecat, plaster dan 'housekeeping' di tapak pembinaan berkenaan. Foto hiasan
Mangsa merupakan pekerja sebuah syarikat subkontraktor yang menjalankan kerja-kerja mengecat, plaster dan 'housekeeping' di tapak pembinaan berkenaan. Foto hiasan
A
A
A

GEORGE TOWN - Seorang pekerja maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 34 sebuah tapak pembinaan di Bayan Mutiara, Mukim 13, daerah Timur Laut di sini.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, Hairozie Asri berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 12.15 tengah hari, 14 Julai lalu melalui panggilan telefon daripada orang awam sebelum sepasukan pegawai penyiasat digerakkan ke lokasi pada hari sama bagi menjalankan siasatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 pagi pada 12 Julai melibatkan mangsa yang merupakan pekerja sebuah syarikat subkontraktor yang menjalankan kerja-kerja mengecat, plaster dan 'housekeeping' di tapak pembinaan berkenaan.

“Mangsa yang merupakan warga Bangladesh dipercayai sedang melaksanakan kerja-kerja mengecat dan 'housekeeping' di tingkat 34 sebelum ditemui dalam keadaan cedera parah di atas lantai 'canopy roof' di tingkat 9.

“Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat 34 ke tingkat 9 sebelum Pegawai Perubatan Hospital Pulau Pinang mengesahkan kematiannya di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, JKKP Pulau Pinang telah mengeluarkan Notis Larangan kepada subkontraktor bagi menghentikan kerja-kerja mengecat, plaster dan 'housekeeping' di kawasan tepian terbuka.

"Pada masa sama, Notis Larangan turut dikeluarkan kepada kontraktor utama berhubung kegagalan memastikan kawasan tepian terbuka diadang dan dilindungi dengan selamat.

"Semua aktiviti kerja yang berkaitan di lokasi kejadian turut diarahkan dihentikan serta-merta sehingga semua kehendak Notis Larangan dipatuhi sepenuhnya," ujarnya.

Hairozie berkata, pihaknya memandang serius setiap kemalangan di tempat kerja khususnya yang melibatkan kerja di tempat tinggi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, semua pihak yang terlibat dalam projek pembinaan perlu memastikan setiap hazard dikenal pasti dan dikawal secara berkesan melalui pelaksanaan penilaian risiko yang menyeluruh serta menyediakan langkah kawalan yang sesuai bagi menghapus atau mengurangkan risiko.

Katanya, majikan, kontraktor utama, subkontraktor dan semua pemegang kewajipan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514] serta Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) 2024 [CDM 2024] bertanggungjawab memastikan tempat kerja sentiasa selamat.

“Ini termasuk penyediaan perlindungan di kawasan tepian terbuka, penyeliaan yang mencukupi serta pematuhan kepada prosedur kerja selamat bagi mengelakkan kejadian seumpama ini daripada berulang,” katanya.

"Semua pihak yang terlibat di tapak pembinaan diingatkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan sekiranya mereka menyembunyikan atau gagal melaporkan sebarang kemalangan pekerjaan yang berlaku," katanya.

Tambah beliau, JKKP Pulau Pinang akan meneruskan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan dan menentukan sama ada terdapat pelanggaran terhadap peruntukan undang-undang keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

"Tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!