Kerajaan bayar RM24.36 juta projek Jana Wibawa kepada KCJ Engineering

Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkannya di Mahkamah Tinggi pada Rabu. Foto Bernama.
Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkannya di Mahkamah Tinggi pada Rabu. Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa, jabatan itu telah membayar RM24,367,920.57 kepada syarikat KCJ Engineering Sdn Bhd.

Datuk Wan Hasnan Wan Musa berkata, bayaran berkenaan dibuat selepas Kerajaan bersetuju menerima tawaran tender daripada syarikat tersebut, untuk Projek Membina Jalan Baru Menyambung Felda Bukit Jalor ke Gemas, Negeri Sembilan berharga RM62 juta.

Saksi pendakwaan ke-17 (SP17) itu katanya, RM24.36 juta itu meliputi RM10 juta wang pendahuluan kontrak dan selebihnya membabitkan sembilan bayaran yang diproses sepanjang pelaksanaan projek berkenaan.

“Bayaran pendahuluan kontrak sebanyak RM10 juta dibuat 26 Mei 2022, manakala selebihnya bermula 28 Mac 2022 hingga 15 Februari 2023.

“Berdasarkan baucer terbabit, saya mengesahkan bayaran sudah dibuat ke dua akaun milik syarikat berkenaan.”

Saksi berusia 51 tahun itu berkata demikian dalam perbicaraan empat kes salah guna kedudukan untuk suapan berjumlah RM225.3 juta dan tiga pengubahan wang haram (AMLA) sebanyak RM200 juta dihadapi Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mahkamah dalam prosiding sebelum ini diberitahu, KCJ Engineering merupakan antara 54 syarikat yang dicadangkan Muhyiddin yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri.

Ia menerusi surat bertarikh 13 November 2020 bagi melaksanakan projek di bawah Program Jana Wibawa secara rundingan terus.

Pada 13 April lalu pula, SP6, Pegawai Operasi Maybank Cawangan Shah Alam, Chang Hui Chin, 50, berkata, KCJ Engineering membuat pembayaran menggunakan empat cek, masing-masing berjumlah RM200,000 kepada Bersatu pada 1 September 2022.

Artikel Berkaitan:

Mengikut pertuduhan pindaan pertama hingga keempat, Ahli Parlimen Pagoh ini didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM225.3 juta.

Wang itu didakwa daripada seorang individu iaitu ahli perniagaan, Datuk Azman Yusoff, 51 dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd, bagi sekutu parti itu.

Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh, Muhyiddin selaku Presiden parti itu, didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM200 juta antaranya daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Dalam pada itu, Wan Hasnan turut mengesahkan tiga perakuan bayaran yang disyorkan bagi projek itu ialah masing-masing RM886,093.51, RM1,661,300 dan RM2,150,789.13.

Bagaimanapun, beliau mengesahkan tiada sebarang pembayaran dibuat kepada kontraktor utama bagi ketiga-tiga perakuan tersebut kerana ketiadaan peruntukan.

Ketika menjawab soalan tambahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Mohd Afzal, saksi itu berkata, kemajuan projek tersebut, dipantau menerusi mesyuarat bulanan yang dihadiri oleh semua jurutera daerah.

“Bagi peratus kemajuan semasa, saya tidak pasti, namun projek ini dijangka siap pada penghujung bulan ini.

“Sebahagian daripada projek ini sudah diserahkan kepada Kerajaan, kontraktor telah menyiapkan dan menyerahkan bahagian berkenaan dan kami telah mengeluarkan sijil siap.

Sementara itu, ketika menjawab soalan peguam, Chetan Jethwani yang mewakili Muhyiddin, Wan Hasnan bersetuju bahawa Pejabat Perdana Menteri (PMO) ketika itu, tidak campur tangan dalam urusan mengeluarkan semua bayaran itu kepada KCJ Engineering.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Noor Ruwena Md Nurdin bersambung pada Khamis.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!