Mercu tanda ikonik 'IPOH' diturunkan untuk kerja baik pulih

IPOH - Tulisan ikonik ‘IPOH’ yang menjadi mercu tanda bandar raya ini telah diturunkan sementara bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pemeriksaan, pembaikan dan baik pulih.
Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah berkata, langkah itu diambil bagi memastikan struktur serta keadaan fizikal tulisan berkenaan sentiasa berada dalam keadaan baik, selamat dan terpelihara.

Menurutnya, usaha tersebut juga penting bagi mengekalkan imej mercu tanda kebanggaan bandar raya Ipoh yang sering menjadi tumpuan pengunjung.
“Kerja-kerja pemasangan semula tulisan ‘IPOH’ dijangka dilaksanakan secara berperingkat mulai 4 hingga 6 Ogos ini, tertakluk kepada keadaan cuaca dan kelancaran kerja di tapak," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Beliau berkata, pihaknya komited memastikan kemudahan awam serta mercu tanda bandar raya sentiasa diselenggara dengan baik demi keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan warga kota.
"MBI memohon kerjasama serta kesabaran warga kota sepanjang tempoh kerja-kerja berkenaan dilaksanakan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

