Dana zakat terhenti jejas sistem sokongan sosial

A
A
A

Dari kiri: Ismail, Khairulazhar, Fatimah dan Cik Siah pada program Wacana: Jika Zakat Terhenti yang berlangsung di Studio F Karangkraf, di Shah Alam.
Dari kiri: Ismail, Khairulazhar, Fatimah dan Cik Siah pada program Wacana: Jika Zakat Terhenti yang berlangsung di Studio F Karangkraf, di Shah Alam.

SHAH ALAM - Sistem sokongan sosial negara dibimbangi akan semakin terjejas jika dana zakat terhenti berikutan peranan institusi zakat yang bertindak sebagai nadi utama bantuan kepada golongan memerlukan.

Penolong Pengurus Besar Syariah Penerbitan dan Analisis Data Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Khairulazhar Samsudin berkata, taksiran kepada penerima zakat sebenarnya amat luas dan tidak hanya terhad kepada definisi orang miskin sahaja.

Beliau menjelaskan, dana zakat turut menyokong asnaf lain termasuk individu yang menyambung pelajaran, pesakit serta mereka yang berjuang pada jalan ALLAH SWT.

“Zakat ini menjadi salah satu nadi sokongan sosial kepada masyarakat Islam sepertimana keratan hadis sahih yang bermaksud diambil (zakat) daripada orang kaya dikalangan mereka dan diberikan kepada orang-orang miskin dikalangan mereka.

“Kadar 2.5 peratus atau 1/40 itu adalah jambatan yang menghubungkan sosial dengan ikatan kasih sayang dan ihsan,” katanya.

Beliau berkata demikian selaku panel jemputan sempena program Wacana: Jika Zakat Terhenti yang berlangsung di Studio F Karangkraf, di sini.

Program yang dikendalikan oleh moderator, Ismail Adnan itu turut menampilkan dua panelis lain iaitu wakil akademik, Profesor Dr Fatimah Kari serta wakil asnaf, Cik Siah Awang.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai elemen keperluan manusia, Khairulazhar menggariskan tujuh perkara utama iaitu makanan dan minuman, pakaian, tempat tinggal, pendidikan, pengangkutan, kesihatan serta kemudahan komunikasi.

Daripada senarai tersebut, beliau menekankan bahawa pendidikan dan kesihatan adalah dua kategori paling kritikal yang perlu diutamakan bagi membantu asnaf.

“Pendidikan adalah aset yang paling penting. Jika kita tidak menaikkan taraf penerima bantuan melalui pendidikan, maka kitaran kefakiran dan kemiskinan itu tidak akan terputus dan sukar untuk mengubah generasi seterusnya. Kita kena keluarkan mereka daripada belenggu itu.

“Keduanya ialah kesihatan. Sebagai contoh hari ini, ramai individu boleh jatuh muflis atau menjadi miskin semata-mata kerana menampung kos rawatan dialisis,” katanya.

Menurutnya, kos bagi satu proses dialisis kini mencecah antara RM180 hingga RM250 tidak termasuk ubat-ubatan dan sekiranya pesakit perlu menjalani rawatan tiga kali seminggu, kos bulanan boleh mencecah sekitar RM2,400.

“Bagi individu yang berpendapatan RM3,000 atau RM4,000 sebulan, kos rawatan ini boleh menyebabkan mereka menjadi miskin. Jika kita hentikan nadi sosial zakat ini, siapa yang akan menampung bebanan mereka sedangkan statistik pesakit dialisis amat membimbangkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat yang mempunyai kelebihan harta untuk terus menjalankan tanggungjawab mengeluarkan zakat bagi mengurangkan jurang sosial dalam komuniti.

Jelasnya, pusingan zakat adalah satu kitaran luar biasa yang menghubungkan pertalian manusia sesama manusia yang akhirnya kembali kepada yang maha pencipta.

Kegagalan kuasai ekonomi tambah bilangan asnaf

FATIMAH
FATIMAH

SHAH ALAM - Ummah perlu menguasai rantaian bekalan atau supply chain daripada A hingga Z serta memperkukuhkan aspek penawaran bagi membina sistem ekonomi yang lebih mampan dan berdaya tahan.

Wakil akademik, Profesor Dr Fatimah Kari berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan pegangan dan penguasaan ekonomi dalam kalangan umat Islam terus kukuh sekali gus mampu memperluaskan saiz ekonomi negara.

Menurut beliau, ‘kek ekonomi’ perlu dikembangkan sebesar-besarnya bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, perkongsian keuntungan serta memastikan keupayaan membayar zakat yang lebih pasti.

“Cabaran utama ummah hari ini adalah untuk memastikan pegangan dan penguasaan kita terhadap ekonomi adalah kuat. Ummah perlu produktif dan menguasai rantaian bekalan daripada A hingga Z.

“Selagi kita gagal menguasai aspek penawaran ekonomi ini dengan optimum, kita akan terus berdepan risiko kejutan seperti penurunan kutipan zakat, kekurangan peluang pekerjaan serta ketidaktentuan harga barang,” katanya.

Fatimah berkata, kegagalan membina sistem ekonomi berasaskan aspek penawaran akhirnya akan menyebabkan lebih ramai masyarakat terpaksa menjadi penerima zakat (asnaf) akibat ketidakupayaan ummah untuk mandiri.

Dalam pada itu, beliau berkata struktur kadar zakat yang konsisten pada kadar 2.5 peratus mampu memberi keadilan serta kestabilan jangka masa panjang kepada ekosistem perniagaan berbanding instrumen fiskal konvensional seperti cukai.

Menurutnya, berbeza dengan sistem cukai yang nilainya sering berubah-ubah mengikut pelarasan dan penyesuaian kedudukan ekonomi semasa, kadar zakat pula kekal konsisten sejak ia diwujudkan 1,400 tahun lalu.

Beliau menjelaskan, struktur zakat yang konsisten memudahkan pengiraan kos operasi, keuntungan serta pulangan perniagaan kerana para peniaga tidak berdepan masalah aliran kewangan.

Bekas asnaf bangkit jadi usahawan, buktikan kemiskinan bukan warisan

CIK SIAH
CIK SIAH

SHAH ALAM - “Kemiskinan bukanlah satu warisan yang perlu diwarisi, sebaliknya ia adalah satu keadaan yang perlu diperbaiki dengan usaha dan kesedaran diri.”

Demikian kata bekas penerima asnaf, Cik Siah Awang, 52, yang berjaya mengubah kehidupan keluarganya sehingga keluar daripada kelompok penerima bantuan zakat dan bergelar usahawan.

Ibu kepada enam anak berusia antara lapan hingga 26 tahun itu berkata, pendidikan menjadi keutamaan bagi memastikan anak-anaknya tidak terus terperangkap dalam kitaran kemiskinan.

“Saya menasihatkan anak anak untuk belajar dan jangan putus asa. Kita kena keluar, kalau tidak kita akan tersekat di sini,” katanya.

Hasil pengorbanannya, anak-anak beliau kini berjaya melanjutkan pengajian ke matrikulasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam bidang Kejuruteraan Kimia.

Cik Siah berkata, sokongan mental dan psikologi amat penting dalam mengharungi cabaran hidup, lebih-lebih lagi ketika beliau menjaga suaminya, Allahyarham Mohd Nizam Johari, 57, yang meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang baru-baru ini.

Mengimbau permulaan perniagaannya, beliau berkata, perniagaan dibangunkan semula dari rumah secara kosong dengan memanfaatkan platform digital seperti Grab dan Foodpanda.

Usaha gigih itu membuahkan hasil apabila perniagaannya berkembang sehingga mampu menyewa kedai, memperoleh lesen perniagaan, mendapat pensijilan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan menjadi pembekal kepada agensi kerajaan.

Beliau kini telah secara rasmi dikeluarkan daripada kategori bantuan perniagaan di bawah skim Bantuan Insentif Modal Perniagaan, MAIWP.

Menurutnya, kejayaan itu membuktikan golongan asnaf mampu berdikari dan mengubah nasib hidup sekiranya diberikan peluang serta mempunyai keazaman yang tinggi untuk berjaya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!