JPJ panggil penunggang tanpa topi keledar ketika kempen PRN Johor bantu siasatan

Individu terbabit diarahkan untuk hadir ke mana-mana pejabat JPJ dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis dikeluarkan.
Individu terbabit diarahkan untuk hadir ke mana-mana pejabat JPJ dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis dikeluarkan.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor telah mengeluarkan Notis 114 (Notis Temu Siasat) kepada individu yang dikesan menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengarahnya, Zulkarnain Yasin berkata, notis berkenaan dikeluarkan bagi mengarahkan individu terbabit hadir ke mana-mana pejabat JPJ dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis dikeluarkan untuk membantu siasatan.

"Kegagalan hadir akan menyebabkan individu berkenaan dikenakan tindakan atas kesalahan ingkar notis yang membawa kompaun maksimum RM300, manakala jika disabitkan di mahkamah boleh didenda hingga RM2,000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan.

"Jika individu terbabit hadir dan hasil siasatan mendapati tiada keraguan berhubung kesalahan dilakukan, mereka akan dikenakan saman kerana tidak memakai topi keledar dengan kadar kompaun maksimum RM300 atau denda hingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan jika disabitkan di mahkamah," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Zulkarnain berkata, tindakan itu selaras dengan arahan Menteri Pengangkutan yang menegaskan tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang sepanjang tempoh berkempen, tanpa mengira latar belakang politik.

"Mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang tanpa sebarang layanan istimewa.

"JPJ tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang pelanggaran yang boleh menjejaskan keselamatan jalan raya atau mengganggu ketenteraman awam," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua calon, jentera parti, penyokong dan orang ramai agar mengamalkan budaya berkempen secara berhemah serta mematuhi undang-undang demi memastikan proses demokrasi berlangsung dalam suasana yang aman, teratur dan selamat.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!