KPT sasar 70 peratus kemudahan kolej kediaman menjelang 2035

Zambry
Zambry
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyasarkan penyediaan kemudahan kolej kediaman sekurang-kurangnya 70 peratus daripada jumlah enrolmen pelajar prasiswazah sepenuh masa secara fizikal menjelang 2035.

Menterinya, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, kemudahan itu melibatkan semua Universiti Awam (UA) dan politeknik seluruh negara.

Menurutnya, ia digariskan menerusi satu Dasar Kemudahan Kolej Kediaman Di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) yang dibangunkan pada November 2024.

“KPT sentiasa peka dan mengambil berat keperluan semasa pelajar, terutamanya kepentingan menyediakan kolej kediaman sebagai penempatan yang sejahtera dan selamat.

“Bagi memenuhi keperluan penginapan mahasiswa di universiti, lebih banyak kolej kediaman pelajar dibangunkan sebagai pelan jangka panjang KPT untuk keselesaan mereka terutamanya yang melibatkan pelajar golongan B40,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mengenai langkah konkrit kerajaan bagi mengatasi kekurangan kolej kediaman sehingga memaksa ramai pelajar menyewa di luar kampus dengan kos yang tinggi.

Zambry berkata, sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) 2021-2025 dan Rolling Plan Pertama, Rancangan Malaysia Ke-13 (RP1, RMK13), KPT telah menerima peruntukan hampir RM1.1 bilion bagi penggantian, naik taraf dan pemulihan infrastruktur dan peralatan usang di IPTA

Menurutnya, peruntukan itu meliputi kerja penambahbaikan, pemuliharaan, pengubahsuaian dan menaik taraf prasarana di IPTA.

Selain itu katanya, KPT turut menaik taraf dan membaik pulih asrama sedia ada menggunakan peruntukan pembangunan berjumlah hampir RM225 juta sepanjang tempoh RMK12 dan RP1 RMK13.

Artikel Berkaitan:

“Dalam masa yang sama, sebanyak 36 projek kolej kediaman di IPTA dilaksanakan melalui kerjasama awam swasta (Public Private Partnership atau PPP) sepanjang tempoh yang sama.

“Daripada jumlah tersebut, 15 projek siap dibina melalui kaedah PPP yang mampu menampung sehingga 45,000 orang pelajar," katanya.

Beliau berkata, bagi hala tuju seterusnya dalam tempoh RMK13, kerajaan berhasrat untuk membina lima buah kolej kediaman baharu di Universiti Awam yang dijangka dapat menampung sehingga 21,000 orang pelajar melalui kaedah PPP.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!