Mewariskan lebih daripada harta

Kekayaan generasi bukan sekadar tentang jumlah wang atau harta yang dimiliki, tetapi bagaimana kekayaan tersebut mampu dikembangkan untuk generasi berikutnya. - Gambar kecil (Abdul Rahim)
Kekayaan generasi bukan sekadar tentang jumlah wang atau harta yang dimiliki, tetapi bagaimana kekayaan tersebut mampu dikembangkan untuk generasi berikutnya. - Gambar kecil (Abdul Rahim)
A
A
A

GENERATIONAL wealth atau kekayaan generasi merujuk kepada aset, sumber kewangan dan nilai yang dibina untuk diwariskan kepada generasi seterusnya bagi memastikan kestabilan ekonomi keluarga dalam jangka panjang.

Ia bukan sekadar tentang jumlah wang atau harta yang dimiliki, tetapi bagaimana kekayaan tersebut diurus, dikembangkan dan mampu membuka peluang lebih besar kepada anak cucu.

Pemilikan hartanah, pelaburan, perniagaan keluarga serta ilmu pengurusan kewangan merupakan antara elemen penting dalam membentuk legasi kewangan berpanjangan.

Felo Kanan Institut Analitik Data Raya dan Kecerdasan Buatan (IBDAAI), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Madya Dr Abdul Rahim Ridzuan berkata, kekayaan generasi bukan sekadar meninggalkan wang tunai kepada anak cucu, tetapi membina asas kewangan yang mampu meningkatkan kesejahteraan sesebuah keluarga dalam jangka panjang.

“Namun dalam keadaan kos sara hidup yang meningkat serta ketidaktentuan ekonomi, usaha membina kekayaan generasi memerlukan perancangan yang lebih menyeluruh.

“Asas pembinaan kekayaan generasi bermula dengan keupayaan menjana pendapatan melalui pendidikan, peningkatan kemahiran dan penerokaan sumber pendapatan baharu,” katanya kepada Bisnes Sinar.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan median pendapatan isi rumah meningkat kepada RM7,017 sebulan pada 2024 berbanding RM6,338 pada 2022, manakala pendapatan purata isi rumah mencapai RM9,155 sebulan.

Bagaimanapun, Abdul Rahim menegaskan peningkatan pendapatan semata-mata tidak menjamin seseorang mampu membina kekayaan sekiranya wang yang diperoleh tidak diurus dengan baik.

“Disiplin kewangan menjadi faktor yang membezakan individu berpendapatan tinggi dengan mereka yang benar-benar berjaya membina kekayaan jangka panjang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, amalan menyimpan secara konsisten, mengawal hutang tidak produktif dan berbelanja mengikut kemampuan perlu dijadikan budaya dalam setiap isi rumah.

Simpanan jangka panjang seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), katanya, menunjukkan bagaimana disiplin kewangan mampu menghasilkan pertumbuhan melalui kesan pulangan kompaun, dengan kadar dividen 6.15 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah bagi tahun kewangan 2025.

Selain simpanan, kekayaan yang dibina perlu dikembangkan melalui portfolio aset yang pelbagai termasuk hartanah, saham, unit amanah, aset persaraan dan perniagaan yang mempunyai potensi pertumbuhan.

Pada masa sama, beliau mengingatkan kekayaan generasi tidak boleh dinilai berdasarkan nilai kewangan semata-mata.

“Pendidikan, ilmu pengurusan kewangan, budaya menabung, disiplin bekerja dan jaringan profesional juga merupakan aset yang sangat bernilai.

"Banyak keluarga berjaya mewariskan harta, tetapi gagal mewariskan ilmu untuk menguruskannya,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan perlindungan kewangan menerusi takaful atau insurans serta penyediaan dana kecemasan bagi memastikan aset yang dibina tidak terjejas apabila berlaku musibah.

Selain itu, perancangan pewarisan melalui instrumen seperti hibah dan wasiat perlu diberi perhatian lebih awal bagi memastikan pemindahan aset kepada waris berjalan lancar serta mengurangkan risiko pertikaian.

Mengulas perubahan corak pemikiran generasi muda, Abdul Rahim berkata, golongan milenial dan Generasi Z kini lebih terbuka kepada pelaburan digital, dana indeks, saham serta perniagaan berasaskan teknologi berbanding generasi terdahulu yang lebih tertumpu kepada hartanah dan simpanan tetap.

Walaupun pendekatannya berbeza, prinsip membina kekayaan tetap sama, iaitu menjana pendapatan, mengurus kewangan secara berhemah, melabur secara konsisten dan merancang pewarisan sejak awal.

“Kekayaan generasi tidak dibina dalam tempoh singkat. Ia lahir daripada keputusan kecil yang dibuat secara konsisten sepanjang hayat.

“Legasi sebenar bukan sekadar nilai harta yang ditinggalkan, tetapi kemampuan generasi seterusnya untuk mengekalkan dan mengembangkannya,” katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!