Bina jati diri, bukan sekadar hiburan

MINGGU orientasi merupakan detik pertama yang mencorakkan pengalaman mahasiswa apabila melangkah ke alam pendidikan tinggi.
Waktu inilah mereka diperkenalkan budaya kampus, nilai institusi dan semangat kebersamaan sebagai warga universiti atau institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Oleh itu, setiap pengisian sepanjang minggu orientasi sepatutnya dirancang dengan matlamat membina sahsiah, jati diri dan rasa tanggungjawab terhadap institusi serta negara.
Namun, baru-baru ini timbul perdebatan apabila majlis penutup minggu orientasi di sebuah universiti diserikan dengan konsert sehingga mengundang pelbagai reaksi masyarakat.
Ada melihatnya sebagai pendekatan meraikan pelajar baharu dan mewujudkan suasana ceria, manakala ada juga yang mempersoalkan sama ada bentuk sambutan sedemikian benar-benar mencerminkan peranan institusi pendidikan tinggi sebagai medan pembentukan karakter.
Dalam masa sama, sebuah lagi institusi memilih pendekatan yang berbeza apabila menutup minggu orientasinya dengan nyanyian lagu patriotik.
Program sederhana itu menyemarakkan semangat cintakan negara, rasa kekitaan dan kebanggaan menjadi sebahagian institusi yang bakal membentuk masa depan mereka.
Perbandingan ini bukan bertujuan mengangkat satu pendekatan atau menolak pendekatan yang lain. Hiburan sememangnya mempunyai tempat dalam kehidupan mahasiswa.
Namun, persoalan yang lebih besar ialah apakah nilai yang ingin diterapkan kepada generasi muda pada hari pertama bergelar mahasiswa.
Institusi pengajian tinggi bukan sekadar melahirkan graduan cemerlang akademik dan kemahiran, malah memikul tanggungjawab membentuk insan berintegriti, berdisiplin dan berjiwa patriotik.
Justeru, sudah tiba masanya semua institusi menilai semula falsafah penganjuran minggu orientasi.
Kejayaannya tidak seharusnya diukur melalui kemeriahan pentas atau sorakan penonton, sebaliknya sejauh mana program tersebut berjaya membentuk karakter, menyemai nilai murni dan meninggalkan kesan yang berkekalan kepada mahasiswa sebagai pemimpin masa depan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
