Penumpang cedera selepas tingkap pesawat Ryanair tercabut ketika penerbangan

Sebuah pesawat Ryanair berada di landasan Lapangan Terbang Makedonia di Thessaloniki, Greece. Gambar hiasan Foto: Reuters/Alexandros Avramidis
Sebuah pesawat Ryanair berada di landasan Lapangan Terbang Makedonia di Thessaloniki, Greece. Gambar hiasan Foto: Reuters/Alexandros Avramidis
A
A
A

ATHENS - Seorang penumpang cedera selepas tingkap sebuah pesawat Ryanair tercabut sejurus berlepas dari Thessaloniki, Greece, pada Jumaat.

Kejadian tersebut menyebabkan lelaki berusia 61 tahun yang duduk di tempat duduk bersebelahan tingkap itu hampir tersedut keluar dari pesawat.

Menurut seorang doktor yang merawat mangsa, sebaik pesawat mendarat dengan selamat, lelaki terbabit tersedut sebahagian keluar melalui bukaan tingkap akibat penyahmampatan kabin.

Doktor berkenaan berkata, isteri mangsa memegang kaki suaminya bagi menghalangnya daripada tersedut sepenuhnya keluar dari pesawat. Mangsa kini sedang menerima rawatan di hospital.

Pesawat Boeing 737 NG itu sedang dalam penerbangan dari Thessaloniki ke Memmingen, Jerman, sebelum berpatah balik dan melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Thessaloniki selepas insiden berkenaan berlaku.

Ryanair dalam satu kenyataan memaklumkan pesawat itu kembali ke Thessaloniki selepas "tingkap penumpang tercabut ketika penerbangan".

Syarikat penerbangan itu turut mengesahkan pesawat mendarat dengan selamat dan semua penumpang kembali ke terminal, manakala seorang penumpang menerima bantuan perubatan.

Seorang pegawai kanan penerbangan Greece berkata, pesawat itu mengisytiharkan kecemasan dengan topeng oksigen terkeluar secara automatik di dalam kabin sebelum berjaya mendarat dengan selamat.

Media tempatan Greece melaporkan serpihan daripada enjin dipercayai memecahkan tingkap pesawat, sekali gus menyebabkan kabin mengalami penyahmampatan. Dua sumber industri yang mengetahui insiden itu turut mengesahkan perkara berkenaan kepada Reuters.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan tingkap pesawat yang pecah serta topeng oksigen tergantung di dalam kabin, namun kesahihan rakaman itu belum dapat disahkan secara bebas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!