Siapa menangi hati Bangsa Johor?

Mandat diberikan pengundi pada PRN Johor ke-16 akan menentukan hala tuju negeri itu dalam tempoh lima tahun akan datang.
Mandat diberikan pengundi pada PRN Johor ke-16 akan menentukan hala tuju negeri itu dalam tempoh lima tahun akan datang.
A
A
A

HARI ini, Bangsa Johor bersuara.

Selepas lebih dua minggu gelanggang kempen dipenuhi perang slogan, tawaran manifesto, ceramah politik dan pelbagai kontroversi, akhirnya kira-kira 2.7 juta pengundi Johor mempunyai kuasa menentukan siapa yang layak diberikan mandat untuk mentadbir negeri itu.

Persoalannya, mana satu pilihan Bangsa Johor?

Adakah Barisan Nasional (BN) akan terus menjadi pilihan atau Pakatan Harapan (PH) berjaya mencipta kejutan dan menawan hati pengundi?

Di sebalik pertembungan sengit BN dan PH, kehadiran parti lain termasuk Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Bersama Malaysia (Bersama) sehinggalah calon Bebas tetap mewarnai gelanggang demokrasi Johor.

Bagaimanapun, berdasarkan corak pertandingan dan perkembangan sepanjang kempen, tumpuan utama sukar dialihkan daripada persaingan dua blok terbesar, BN dan PH.

Perikatan Nasional (PN) yang sebelum ini pernah menjadi antara pencabar utama pula berdepan situasi berbeza pada PRN kali ini apabila tidak bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Lebih menarik, Pas turut meminta penyokongnya memberikan undi kepada calon BN di kawasan tertentu yang tidak ditandingi parti itu.

Situasi tersebut menjadikan PRN Johor kali ini semakin unik dan sukar diramal sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

Walaupun BN dan PH bekerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini menyaksikan kedua-duanya bertembung dalam ‘perang besar’ untuk menguasai pentadbiran negeri.

Sepanjang tempoh berkempen, kedua-dua gabungan itu saling menyerang, mempertahankan rekod masing-masing dan menawarkan pelbagai janji kepada rakyat.

BN turun dengan kelebihan sebagai penyandang kerajaan negeri, manakala PH pula berusaha meyakinkan pengundi bahawa Johor memerlukan perubahan.

Kajian Ilham Centre menunjukkan BN berpotensi memperoleh majoriti dua pertiga, selain krisis dalaman PN dilihat memberi laluan lebih luas kepada gabungan itu menguasai kerusi Melayu.

Populariti Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang dilaporkan lebih tinggi berbanding Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menjadi antara faktor menarik perhatian dalam menentukan percaturan politik negeri itu.

Bagaimanapun, PH juga tidak boleh dipandang mudah.

Kadar keluar mengundi, khususnya dalam kalangan pengundi Cina, dijangka menjadi antara faktor penting yang boleh menentukan nasib gabungan tersebut.

Pada masa sama, pengundi muda pula dilihat semakin matang apabila tidak lagi menjadikan parti semata-mata sebagai ukuran, sebaliknya lebih mengutamakan calon yang benar-benar mampu bekerja dan menyelesaikan masalah rakyat.

Turut menjadi perhatian ialah sokongan masyarakat India apabila wujud jangkaan sebahagian pengundi daripada komuniti itu akan melakukan undi protes susulan kekecewaan terhadap PH.

Bagaimanapun, segala analisis, kajian, ramalan dan sentimen politik akhirnya hanya akan ditentukan oleh satu perkara iaitu undi rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan kira-kira 70 peratus pengundi akan keluar menunaikan tanggungjawab pada PRN kali ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, 70 peratus daripada lebih 2.7 juta pengundi dijangkakan keluar mengundi pada hari pengundian PRN Johor pada Sabtu.

Angka itu penting kerana keputusan pilihan raya bukan hanya bergantung kepada siapa yang popular atau parti mana mempunyai penyokong paling ramai, sebaliknya, ia bergantung kepada siapa yang benar-benar keluar mengundi.

Sokonglah BN, PH, PN atau mana-mana parti sekalipun, jika sekadar bersemangat di media sosial, menghadiri ceramah atau berdebat mengenai politik tetapi tidak pulang mengundi, sokongan itu tidak membawa sebarang makna di peti undi.

Kisah seorang pelajar Malaysia di China yang sanggup pulang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi seharusnya menjadi contoh bahawa satu undi tetap mempunyai nilai dalam menentukan masa depan negeri.

Yeo Lynn, 26, yang merupakan pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Komunikasi Universiti Sichuan, Chengdu, sanggup mengharungi perjalanan hampir lapan jam serta berbelanja kira-kira RM2,000 bagi memastikan dapat menunaikan tanggungjawabnya.

Apa juga pilihan anda, yang lebih utama ialah suara Bangsa Johor diterjemahkan di peti undi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!