Tatakelola PERKESO bongkar tuntutan palsu Daya Kerjaya

SHAH ALAM - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjaya membongkar kegiatan tuntutan palsu insentif Daya Kerjaya hasil urus tadbir dan tatakelola yang diterapkan sehingga menyelamatkan dana berjumlah RM6.83 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, kegiatan memalsukan dokumen tuntutan yang didalangi segelintir majikan itu mula dikesan bahagian Anti-Fraud, Etika dan Integriti (AFEI) PERKESO sekitar penghujung 2024.
Menurutnya, siasatan dalaman dan risikan di lapangan dijalankan susulan penemuan itu sebelum maklumat terperinci membabitkan 426 majikan disyaki terlibat dalam kegiatan berkenaan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ogos 2025.
“Saya mengarahkan AFEI untuk bekerjasama dengan SPRM sehingga menyaksikan tangkapan besar-besaran dilaksanakan menerusi Op Daya pada 9 Jun lalu.
“Keberhasilan operasi yang membongkar kegiatan tuntutan palsu ini adalah hasil pelaksanaan tatakelola sedia ada di PERKESO dengan dibantu kemudahan teknologi kecerdasan buatan (AI)," katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Menurutnya, tindakan proaktif ini berjaya menyelamatkan dana insentif Daya Kerjaya berjumlah RM5.33 juta, selain tambahan RM1.5 juta lagi dana sama dikembalikan oleh majikan selepas mengaku terbabit dalam kegiatan jenayah itu.
Mengulas lanjut, Mohammed Azman berkata, PERKESO turut menyempurnakan dasar Ikrar Bebas Rasuah (IBR) melalui SPRM dan menjalin kerjasama dengan suruhanjaya berkenaan bagi menambah baik proses berkaitan.
Sehubungan itu, katanya, pendekatan strategik bersama SPRM akan diteruskan bagi memastikan tiada ruang untuk kegiatan penipuan tuntutan palsu berlaku pada masa hadapan.
“Saya tidak akan berkompromi dengan mana-mana dalang yang terbabit atau bersekongkol dalam jenayah tuntutan palsu, termasuk jika melibatkan anggota dalaman PERKESO.
“PERKESO kekal komited untuk memperkukuh integriti demi memastikan setiap dana awam diuruskan dengan penuh tanggungjawab dan memberikan manfaat kepada pencarum, majikan serta rakyat Malaysia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

