46 lokasi hakisan pantai dikenal pasti kritikal

KUALA LUMPUR - Sebanyak 704 lokasi hakisan pantai telah dikenal pasti menerusi pelaksanaan Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu (ISMP) melibatkan 10 negeri, dengan 46 daripadanya diklasifikasikan sebagai Kategori 1 (kritikal).
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memaklumkan, 183 lokasi berada dalam Kategori 2 (ketara) manakala 475 lagi sebagai Kategori 3 iaitu belum serius.
"Berdasarkan tahap risiko yang dikenal pasti ISMP tersebut, kawasan Pantai Kategori 1 pengurusan mitigasi adalah melalui pelaksanaan struktur kawalan hakisan seperti pembinaan lapis lindung batu.
"Bagi Pantai Kategori 2 dan 3, pendekatan yang disarankan adalah bersifat bukan struktur iaitu melalui pemantauan berterusan serta pencegahan hakisan dengan mengawal dan mengurus pembangunan melalui kaedah anjakan pembangunan," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis.
Kementerian itu menjawab soalan Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) mengenai jumlah hakisan pantai serta agensi kerajaan yang terlibat dalam pemantauan di seluruh negara.
PETRA turut memaklumkan pemantauan dan pengurusan hakisan pantai di negara ini dilaksanakan secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi.
Menurutnya, antara agensi tersebut ialah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Alam Sekitar (JAS), PLANMalaysia, kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan yang berkaitan.
"JPS berperanan sebagai agensi teknikal yang melaksanakan kajian, perancangan dan cadangan langkah mitigasi hakisan pantai melalui ISMP
"Manakala Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) berperanan melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan proses, impak perubahan iklim, kenaikan aras laut serta pembangunan teknologi perlindungan pantai dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi bagi menyokong pengurusan kawasan pesisir pantai negara," katanya.
Jelas kementerian itu, ISMP yang dibangunkan oleh JPS merupakan pelan pengurusan garis pantai bersepadu yang berfungsi sebagai perancangan jangka panjang pengurusan kawasan pesisir pantai secara menyeluruh, terancang dan lestari.
"Pelan ini memberi penekanan kepada aspek kawalan hakisan pantai, perlindungan aset dan kawasan sensitif pesisir, pengurusan risiko banjir serta penyelarasan pembangunan di kawasan pantai, di samping menyokong pemuliharaan alam sekitar secara mampan," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
