'10 hari masak dalam banjir sedalam 0.5 meter'

RANTAU PANJANG – Pengalaman memasak selama 10 hari berturut-turut dalam air banjir sedalam kira-kira 0.5 meter sehingga menyebabkan seluruh badan sakit menjadi antara pengorbanan terbesar sekumpulan tukang masak demi memastikan ratusan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Warisan Penghulu di sini tidak terputus bekalan makanan.
Bagi Wan Kasma Wan Yusoff, 64, yang juga ahli jawatankuasa masjid berkata, rutin memasak dalam keadaan digenangi air bukan lagi sesuatu yang asing setiap kali Rantau Panjang dilanda banjir.
Menurut dia, pengalaman paling mencabar ialah apabila dia bersama sukarelawan lain terpaksa menyediakan makanan selama 10 hari berturut-turut dalam keadaan dapur ditenggelami air.
"Walaupun dapur sudah dilapik dengan lapisan pelbagai jenis siaz kayu, air tetap naik sehingga menenggelamkannya kerana paras banjir terlalu tinggi.
"Memang sakit seluruh badan, serta perlu menahan kesejukan tetapi kami teruskan juga kerana ratusan penghuni PPS bergantung kepada makanan yang kami sediakan setiap hari," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan rumah rakit oleh Kelantan Disaster Response Network (KDRN) di sini pada Jumaat.

Ujar Wan Kasma, dia serta ahli jawatankuasa yang lain amat bersyukur apabila masjid itu menerima sebuah rumah rakit yang boleh dijadikan dapur terapung bagi menghadapi musim tengkujuh akan datang.
Katanya, kemudahan itu membolehkan barangan memasak, generator elektrik dan pelbagai peralatan penting disimpan di tempat lebih selamat selain memberi ruang lebih selesa untuk menyediakan makanan.
"Kalau banjir datang lagi, sekurang-kurangnya kami tidak lagi terlalu tertekan kerana persiapan awal sudah dibuat.
"Terima kasih kepada semua pihak yang sudi membantu dan memahami penderitaan penduduk di kawasan ini. Di sini banjir bukan sekadar air tinggi, tetapi bertakung selama beberapa hari sebelum surut," katanya.
Sementara itu, menurut Komander KDRN, Lua Kheng Luan, projek rumah rakit itu dimulakan sejak 2024 sebagai inisiatif membantu penduduk di kawasan sering dilanda banjir.
Menurutnya, sebanyak 30 rumah rakit disediakan pada 2024 melibatkan kawasan Rantau Panjang dan Pasir Mas, diikuti 25 unit pada tahun lalu serta 20 unit lagi pada tahun ini.
"Setiap rumah rakit bernilai kira-kira RM3,500 dan dibiayai menerusi sumbangan orang ramai termasuk penyumbang dari Kuala Lumpur.
"Kami berharap kemudahan ini bukan sahaja membantu penduduk menyimpan barangan memasak dan harta benda di tempat lebih selamat, malah dapat mengurangkan kerugian apabila banjir melanda," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

