Rakyat Malaysia kembali serbu Thailand

RANTAU PANJANG - Suasana di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang di sini kembali sibuk seperti biasa pada hujung minggu selepas 12 hari berlalu insiden letupan bom di Daerah Tak Bai, Narathiwat, Thailand yang berlaku pada 29 Jun lalu sehingga mencederakan dua rakyat Malaysia.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi pada Jumaat bermula jam 10 pagi hingga 12.30 tengah hari mendapati aliran kenderaan pengunjung Malaysia masuk ke negara jiran kembali rancak selepas sedikit merosot dalam tempoh beberapa hari sejurus insiden itu berlaku.

Seorang pengunjung, Hafiz Yusoff, 34, berkata, dia serta keluarga hanya ingin berkunjung ke pekan Sungai Golok kerana ia lebih dekat dan dirasakan selamat.
"Memang pada awalnya kami risau, namun selepas melihat keadaan kembali tenang dan kawalan keselamatan dipertingkatkan, kami mengambil keputusan untuk meneruskan hasrat ke sana untuk makan-makan.
"Kami cuba mengelakkan kawasan berisiko dan sentiasa mengikuti nasihat pihak berkuasa," katanya.
Bagi seorang lagi pengunjung, Noraini Hassan, 45, memberitahu, perasaan bimbang sentiasa ada, namun sudah sedia maklum dengan keadaan di negara jiran itu.
"Insiden seperti ini sentiasa berlaku di sana, tetapi kami percaya pihak keselamatan Thailand sentiasa memantau keadaan.
"Selagi tiada amaran baharu, kami berdoa agar tiada perkara yang tidak diingini berlaku," katanya.

Sementara itu, sebelum ini Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat menasihatkan penduduk negeri ini supaya menangguhkan sementara waktu urusan ke Thailand, susulan insiden letupan bom yang mencederakan dua rakyat Malaysia di Tak Bai, Narathiwat.
Terdahulu, pada 29 Jun lalu dua rakyat Malaysia cedera selepas kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) Proton X50 yang dinaiki terkena letupan bom berhampiran Mukim Phrai Wan, Daerah Tak Bai, Wilayah Narathiwat, Thailand.
Kejadian terbabit dipercayai berlaku kira-kira jam 11.41 pagi (waktu tempatan).
Akibat letupan tersebut, dua lelaki berkenaan dikatakan mengalami kecederaan dan telah dibawa ke hospital berhampiran oleh pihak berkuasa untuk mendapatkan rawatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

