Panik diekori, penyeludup campak 595 peket minyak masak dalam semak

PASIR MAS – Tindakan nekad dipercayai akibat panik selepas menyedari diekori pihak berkuasa menyebabkan penyeludup sanggup mencampak 595 peket minyak masak bersubsidi di dalam kawasan semak sebelum melarikan diri dalam kejadian di Kampung Lumpur, Jeram Perdah di sini pada Jumaat.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, rampasan itu dilakukan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) dan Op Taring Wawasan Kelantan yang dijalankan bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9.
Menurut beliau, pasukan operasi mengesan sebuah Mitsubishi Pajero berwarna perak dalam keadaan mencurigakan sedang bergerak menghala ke Jalan Pohon Tanjung.
"Apabila menyedari pergerakannya diekori pasukan operasi, pemandu kenderaan itu dipercayai memecut laju dan memasuki laluan kampung bagi mengelak daripada ditahan.

"Suspek dipercayai melalui Jalan Kampung Chenerai sebelum berjaya menghilangkan diri daripada dikesan," katanya kepada pemberita.
Ujar beliau, pemeriksaan di kawasan sekitar kemudiannya membawa kepada penemuan beberapa kotak berwarna coklat yang ditinggalkan di dalam kawasan semak berhampiran lokasi kejadian.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kotak-kotak itu mengandungi 595 peket minyak masak bersubsidi yang dipercayai sengaja ditinggalkan oleh suspek bagi mengelakkan ia dijumpai bersama mereka.
"Pasukan operasi menjalankan pemeriksaan selama kira-kira 30 minit di lokasi, namun tiada individu tampil mengaku sebagai pemilik atau menuntut barangan berkenaan.
"Rampasan membabitkan 493 peket minyak masak bersubsidi bernilai RM1,232.50 dan 102 lagi peket bernilai RM255, menjadikan keseluruhan nilai rampasan RM1,487.50," katanya.
Hanif memberitahu, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan semua barang rampasan diserahkan kepada KPDN Cawangan Pasir Mas untuk tindakan serta siasatan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

