Jangan jadikan kampus gelanggang hiburan melampau - JHEAINS

SHAH ALAM - Hiburan yang melampau, tidak terkawal dan mengabaikan batas pergaulan bukanlah budaya yang wajar dipupuk di institusi pendidikan.
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan dalam satu kenyataan berkata, institusi pendidikan seharusnya menjadi tempat menuntut ilmu, membina akhlak serta membentuk jati diri pelajar, justeru setiap program dan majlis rasmi perlu memelihara nilai ilmu, disiplin, adab serta maruah warga kampus.
Menurut kenyataan itu, kampus sewajarnya terus menjadi ruang yang menyuburkan kecemerlangan akademik, sahsiah dan pembinaan karakter, bukannya menjadi pentas kepada hiburan yang melampaui batas.
"Hal ini kerana ia boleh menjejaskan fungsi kampus sebagai medan melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berintegriti.
"Sebaliknya, kampus sewajarnya terus menjadi ruang yang membentuk kecemerlangan akademik, sahsiah dan jati diri," menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Jabatan itu berkata, Islam turut mengingatkan umatnya supaya tidak hanyut dengan hiburan yang melalaikan sehingga menyimpang daripada tujuan hidup dan tanggungjawab terhadap agama.
Menurut kenyataan itu, perkara berkenaan bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah Luqman ayat 6 yang bermaksud: "Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah..."
Terdahulu, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) menyuarakan kebimbangan terhadap penganjuran Majlis Penutup Minggu Suai Kenal Pelajar (MSKP) Universiti Malaya.
Program itu didakwa lebih menjurus kepada suasana hiburan menyerupai konsert serta memperlihatkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.
Presidennya, Muhammad 'Adni Mohmad Nasruddin berkata, pihaknya berpandangan beberapa elemen dalam penganjuran program berkenaan perlu dinilai semula bagi memastikan kesejahteraan dan keharmonian kampus terus terpelihara.
Beliau berkata, pengisian program sedemikian didakwa timbul saban tahun dan seakan-akan menjadi template yang berulang setiap kali berlangsungnya program orientasi mahasiswa baharu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

