Mentor berstruktur mampu bentuk generasi holistik - Imran Alvi

SHAH ALAM - Kejayaan sistem pendidikan tidak seharusnya diukur berdasarkan keputusan peperiksaan atau pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu melahirkan generasi holistik yang mampu menyumbang kepada masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif Oxford Intellect, Dr Imran Alvi berkata, cabaran yang dihadapi remaja Islam di United Kingdom (UK) ketika ini tidak banyak berbeza dengan situasi di Malaysia apabila internet dan media sosial menjadi sumber utama yang membentuk cara pemikiran generasi muda.
"Takrif kejayaan pendidikan sebagai seorang muslim bukan hanya memperoleh gred atau ijazah yang baik.
"Pendidikan perlu melahirkan individu yang seimbang, mampu menyumbang kepada masyarakat dan memperoleh keredaan ALLAH SWT," katanya ketika berucap pada Program Bimbingan Ihsaan bertajuk 'Siapakah yang membentuk dunia pelajar anda?' di Dewan Karangkraf pada Khamis.
Hadir sama, Pengasas Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.
Beliau berkata, media sosial kini menjadi antara faktor paling berpengaruh kerana platform berkenaan direka untuk mengekalkan perhatian pengguna dalam tempoh yang lama, sekali gus memberi kesan besar terhadap pemikiran remaja.
Menurutnya lagi, keputusan seseorang individu itu kebanyakannya dipengaruhi oleh cara mereka melihat dunia dan persepsi yang terbentuk hasil persekitaran serta kandungan yang mereka habiskan masa untuk mengikutinya.
"Jika kita mahu mengubah tindakan seseorang, kita perlu mengubah cara mereka berfikir terlebih dahulu. Apa yang seseorang lihat, baca dan tonton setiap hari akhirnya akan membentuk pandangan hidup mereka," katanya.
Imran Alvi yang juga pencipta Program Bimbingan Ihsaan itu berkata, bimbingan berasaskan al-Quran dan sunnah telah disusun khusus untuk pelajar berusia 13 hingga 16 tahun yang berada pada fasa penting dalam pembentukan identiti, nilai dan cita-cita hidup.

Katanya lagi, program tersebut berasaskan tiga komponen utama iaitu pendedahan ringkas secara harian (drip feed), sesi penghayatan mendalam (deep dive) setiap minggu serta program meningkatkan aspirasi pelajar (ambition raising).
"Menerusi pendekatan itu, pelajar akan membaca hadis atau ayat al-Quran selama lima minit setiap hari mengikut tema mingguan, manakala sesi mingguan memberi ruang kepada guru membincangkan isu pemikiran secara interaktif.
"Kami tidak mengajar cara menunaikan solat, tetapi mengajar mengapa solat itu penting, bagaimana seseorang perlu hadir dengan kesedaran apabila menghadap ALLAH SWT dan bagaimana ibadah membentuk kehidupan," katanya.
Tambah Imran Alvi berkata, kandungan modul disusun berdasarkan empat komponen utama yang dirumuskan daripada hadis, meliputi aspek akidah, ibadah, pembentukan akhlak serta cabaran semasa yang mempengaruhi pemikiran generasi muda.
"Antara isu kontemporari yang diberi penekanan ialah pengaruh media sosial, salah faham terhadap Islam, kedudukan sains sebagai sumber ilmu serta pelbagai cabaran yang berpotensi menimbulkan keraguan terhadap agama.
"Program bimbingan seperti ini berupaya membentuk pemikiran dan sahsiah pelajar berasaskan al-Quran serta sunnah sekali gus membentuk hubungan kukuh dengan ALLAH SWT," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
