PKP: Semua bentuk bazar Ramadan tidak dibenarkan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Semua bentuk bazar Ramadan di seluruh negara tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bagi memastikan usaha memutuskan rantaian wabak koronavirus (Covid-19) terlaksana.

"Kerajaan sentiasa mendengar dan mengambil kira pandangan rakyat termasuk pakar dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Sehubungan itu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat keputusan bahawa sebarang bentuk bazar Ramadan di seluruh negara tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP ini," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai PKP di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan ramai berhubung kebenaran operasi bazar Ramadan dalam tempoh PKP yang dilanjutkan untuk fasa ketiga mulai 15 April sehingga 28 April depan.

Terdahulu, kebanyakan negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan membuat pengumuman awal bahawa tiada bazar Ramadan di negeri masing-masing tahun ini.

Bagaimanapun, ada beberapa pihak mencadangkan bazar Ramadan secara atas talian diwujudkan sebagai alternatif mengelakkan orang ramai berkumpul.

Artikel Berkaitan: