Kabinet setuju pinda RUU perkukuh peranan Parlimen dalam lantikan Pendakwa Raya

BHEUU JPM memaklumkan agenda reformasi institusi Kerajaan Madani di bawah pindaan itu bertujuan memperjelas pengasingan fungsi Peguam Negara.
BHEUU JPM memaklumkan agenda reformasi institusi Kerajaan Madani di bawah pindaan itu bertujuan memperjelas pengasingan fungsi Peguam Negara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jemaah Menteri pada Rabu bersetuju dengan cadangan pindaan dalam Jawatankuasa kepada Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 bagi memperkukuh peranan Parlimen dalam proses penelitian dan syor pelantikan Pendakwa Raya.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan agenda reformasi institusi Kerajaan Madani di bawah pindaan itu bertujuan memperjelas pengasingan fungsi Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang kepada Yang di-Pertuan Agong, Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri dan fungsi Pendakwa Raya sebagai pihak menjalankan kuasa pendakwaan.

"RUU ini dibacakan kali pertama di Dewan Rakyat pada 23 Feb 2026 dan pada 3 Mac 2026, Dewan Rakyat telah meluluskan usul supaya RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 dirujukkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) mengenai Pindaan Perlembagaan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya di bawah Peraturan 54(2) dan Peraturan 81(1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat,” menurut kenyataan itu. 

Jawatankuasa yang dianggotai 11 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang itu telah mengadakan tujuh mesyuarat bagi meneliti RUU berkenaan termasuk menetapkan terma rujukan, meneliti parameter perbincangan draf pindaan dalam Jawatankuasa.

Menurut BHEUU, Penyata Jawatankuasa termasuk cadangan pindaan baharu telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 22 Jun lepas.

"Setelah mempertimbangkan beberapa pandangan daripada pihak berkepentingan termasuklah Ahli-Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang, pakar perundangan serta Pertubuhan Masyarakat Sivil, Kerajaan Madani bersetuju meminda Fasal (18) Perkara 145A Rang Undang-undang bagi memperkukuh keseimbangan antara kebebasan Pendakwa Raya dan akauntabiliti institusi,” menurut BHEUU.

Pindaan kepada Fasal (18) Perkara 145A itu mengambil kira cadangan supaya nama-nama calon  dikemukakan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat.

Menurut kenyataan itu, selepas penelitian calon oleh suatu Jawatankuasa Pilihan, Dewan Rakyat akan membuat syor kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP).

"SPKP seterusnya hendaklah menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung pelantikan Pendakwa Raya berdasarkan syor Jawatankuasa Pilihan tersebut. Pindaan ini akan dibentangkan di Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen Ke-15 Tahun 2026 pada 13 Julai ini, untuk dibahaskan.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, reformasi perundangan berkenaan merupakan langkah penting bagi memastikan keadilan dilaksanakan secara bebas, telus dan berlandaskan integriti serta menggambarkan iltizam Malaysia membina sistem pendakwaan yang diyakini rakyat dan setara dengan piawaian terbaik dunia.

"BHEUU, JPM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), barisan Jemaah Menteri dan Peguam Negara dan pasukan beliau atas sokongan, pandangan dan cadangan yang telah diberikan dalam memperkukuh pindaan kepada Rang Undang-Undang ini,” menurut kenyataan itu. - Bernama 

 

 

 

 

 

TAG: BHEUU, JPM, MADANI, pengasingan, Pendakwa Raya, 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!