Mohd Uzir bersara hari ini, lari 60.87km keliling Putrajaya sebagai simbolik

Mohd Uzir menunjukkan rekod larian sejauh sejauh 60.87km mengelilingi Putrajaya pada 4 Julai lalu sempena persaraannya. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Mohd Uzir menunjukkan rekod larian sejauh sejauh 60.87km mengelilingi Putrajaya pada 4 Julai lalu sempena persaraannya. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin secara rasmi bersara wajib hari ini selepas 36 tahun menabur bakti dalam sektor perkhidmatan awam dan dunia statistik negara.

Memulakan kerjaya di Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sejak 2 Januari 1990, Mohd Uzir, 60, menerajui jabatan sebagai Ketua Perangkawan hampir sembilan tahun sejak 2017.

DOSM berkata, jabatan mengalami anjakan paradigma yang signifikan dan bertransformasi daripada institusi pengeluar statistik rasmi kepada agensi data strategik negara yang berpaksikan integrasi data, analitik lanjutan, sains data serta kecerdasan buatan (AI) di bawah kepimpinan beliau.

"Statistik tidak lagi sekadar dilihat instrumen pelaporan, sebaliknya diangkat sebagai aset strategik negara yang menyokong perancangan pembangunan, tadbir urus dan pembuatan keputusan berasaskan bukti.

"Legasi terbesar beliau adalah kejayaan memperkukuh sistem statistik negara melalui agenda Pengukuhan Sistem Statistik Negara (PSSN).

"Ia menjadi kerangka utama bagi memperkasakan koordinasi dan kualiti statistik rasmi merentasi kementerian serta agensi kerajaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sumbangan Mohd Uzir antara lain menghasilkan statistik rasmi yang tepat, diterjemahkan menerusi penerbitan Anggaran Awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku tahunan pada 2023, Anggaran KDNK Peringkat Daerah pada 2024, statistik Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) serta laporan MyLocalStats bagi menyokong pembuatan dasar berasaskan bukti.

Bukan itu sahaja, beliau turut mengetuai pelbagai inisiatif transformasi data nasional, termasuk pembangunan Pangkalan Data Utama Negara (PADU), kalkulator Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (MyPAKW) serta hab kecerdasan pasaran buruh (MyLabourHub).

Dalam sektor pertanian pula, Mohd Uzir menerajui pembangunan TaniStats yang mengintegrasikan Banci Pertanian 2024 dengan data huluan, hiliran serta keterjaminan makanan dalam satu platform.

Artikel Berkaitan:

Ia dibangunkan bertujuan menyokong perancangan strategik, meningkatkan kecekapan rantaian bekalan dan pertumbuhan mampan sektor tersebut.

Tidak cuma itu, beliau juga memperkenalkan kalkulator jangka hayat yang membantu individu membuat perancangan berkaitan kesihatan, kewangan dan gaya hidup berdasarkan anggaran usia panjang.

Sejak 2017, pemegang Ijazah Doktor Falsafah (Ekonomi) dari Universiti Sheffield, United Kingdom itu mewakili negara di Suruhanjaya Statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, selain pernah mempengerusikan Kongres Statistik Dunia ISI pada 2019.

Sumbangan itu turut membantu mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam penilaian Open Data Inventory (ODIN) 2024-2025.

Pencapaiannya tidak terhenti setakat itu apabila beliau turut memperoleh Anugerah Pengiktirafan Khas daripada Pusat Penyelidikan Ekonomi, Sosial dan Latihan untuk Negara-Negara Islam (SESRIC).

Selain itu, Mohd Uzir memimpin pelaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 dan Banci Pertanian 2024 sebagai Pesuruhjaya Banci, selain menganggotai jawatankuasa menyelia Kajian Semula Persempadanan Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri di Sarawak kali ke-7.

Untuk rekod, kerjayanya bermula sebagai Perangkawan di DOSM Pulau Pinang pada 1990 sebelum meniti pelbagai jawatan penting termasuk dalam Bahagian Perangkaan Perdagangan Luar Negeri, Bahagian Akaun Negara, Ketua Penolong Pengarah, Timbalan Pengarah, Pengarah, Pengarah Kanan dan Timbalan Ketua Perangkawan sebelum dilantik sebagai Ketua Perangkawan Malaysia pada 2017.

Selain memiliki Ijazah Doktor Falsafah (Ekonomi), beliau sebelumnya memperoleh Sarjana Ekonomi dari Universiti Vanderbilt, Amerika Syarikat (AS) dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya (UM).

Sebagai simbolik kepada tarikh persaraan wajib yang juga jatuh pada tanggal hari lahirnya, Mohd Uzir berkesempatan melakukan larian sejauh 60.87 kilometer (km) mengelilingi Putrajaya pada 4 Julai lalu.

Sesi 'clock out' Ketua Perangkawan berlangsung pada Selasa jam 6 petang di Ibu Pejabat DOSM, Putrajaya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!