Bazar Ramadan digital 'JomBuka' hanya RM1 sehari

Muhammad Hafiz Shaifull Naim menunjukkan aplikasi 'JomBuka' di telefon pintar
Muhammad Hafiz Shaifull Naim menunjukkan aplikasi 'JomBuka' di telefon pintar
A
A
A

SHAH ALAM - Sebuah platform perniagaan atas talian menerusi aplikasi JomBuka menawarkan 'ruang' dengan hanya mengenakan caj RM1 sehari seperti bayaran sewa tapak bazar Ramadan.

Aplikasi yang dibangunkan dengan kerjasama antara ABC Bookmart Sdn Bhd dan Haemaira Production menjadikannya sebagai pusat bazar Ramadan digital untuk seluruh negara.

Pengarah ABC Bookmark Sdn Bhd, Noor Hasnol Osman berkata, inisiatif berkenaan sebagai tanda keprihatinan mereka ke atas nasib peniaga Bazar Ramadan dan penjual makanan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, platform digital itu juga dapat dimanfaatkan peniaga baharu yang mencari alternatif meneruskan perniagaan.

"Krisis Covid-19 ini mendorong kepada perniagaan lokal ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. JomBuka memberi peluang kepada peniaga baharu untuk mempromosikan perniagaan mereka dengan bayaran sewa RM1 sahaja sehari dan mampu memperoleh diskaun RM5 dengan sewaan selama 30 hari (RM25).

"Pengguna JomBuka sebagai pembeli pula dapat membeli barangan secara terus dengan peniaga tanpa ada bayaran terhadap JomBuka kerana aplikasi ini sebagai platform pencarian makanan sahaja," katanya dalam satu kenyataan.

Noor Hasnol Osman
Noor Hasnol Osman

Katanya, pihaknya juga akan berkolaborasi dengan sebuah persatuan penjaja besar di Malaysia serta jaringan 'runner' bagi melancarkan lagi kemudahan perniagaan digital itu.

Artikel Berkaitan:

"Kami menjangkakan permintaan yang amat tinggi ke atas talian applikasi 'JomBuka' kerana pembatalan bazar Ramadan,"katanya.

Sementara itu, Pengaturcara Kanan Haemaira Production, Muhammad Hafiz Shaifull Naim berkata, JomBuka merupakan platform digital yang boleh didapati dalam telefon pintar sama ada memuat turun aplikasi tersebut atau melayari laman web JomBuka.com.

Katanya, pesanan juadah berbuka puasa melalui aplikasi berkenaan akan dilakukan secara langsung kepada peniaga melalui aplikasi WhatsApp.

"Peniaga yang tidak mempunyai emel dan mahu mendaftar, kami menyediakan pendaftaran secara manual dengan menekan butang ‘Whatsapp’ atau pautan yang berkenaan.

"Bagi pembeli, pesanan boleh dibuat berdasarkan carian mengikut lokasi dan menu yang dijual," katanya.

Difahamkan sebahagian caj yang dikenakan ke atas peniaga digunakan sebagai sumbangan amal ABC Bookmart Sdn Bhd dan Haemaira Production dalam memerangi wabak Covid-19.