Remaja lelaki hilang selepas bawa anjing bersiar-siar

AMPANG – Polis meminta orang ramai membantu mengesan seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar membawa anjing peliharaan keluarganya bersiar-siar di Taman Permata di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, remaja lelaki itu dikenali sebagai N Barath, 14, kali terakhir dilihat keluar dari rumah kira-kira jam 7 malam sebelum disedari masih belum pulang sejam kemudian.
"Berdasarkan laporan yang dibuat seorang wanita, pelbagai usaha telah dijalankan bagi mengesan remaja terbabit.
"Bagaimanapun, pengadu hanya menemui anjing peliharaan mereka diikat pada sebatang pokok di tepi jalan berhampiran rumah, manakala mangsa masih gagal dikesan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Khairul Anuar berkata, ketika kejadian mangsa memakai seluar jeans berwarna hitam dan baju-T berwarna biru.
“Mangsa mempunyai ketinggian kira-kira 155 sentimeter, berat 62 kilogram, berkulit gelap, berambut hitam dan tidak memakai cermin mata,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan remaja itu diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di talian 03-42897222.
"Maklumat juga boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd Saiful Shahfuzi Mohd Radzi di talian 019-3202055 bagi membantu siasatan," katanya.
Ends
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
